suria

Momentum Pelaburan di Iskandar Malaysia Meningkat

JOHOR BAHARU: Momentum di kalangan ahli perniagaan Singapura untuk melabur di Iskandar Malaysia dan bahagian-bahagian lain Malaysia telah menunjukkan peningkatan, kata Timbalan Perdana Menteri republik itu, Tharman Shanmugaratnam.

Beliau memberi contoh akan kerjasama baru-baru ini antara Temasek Holdings dan Khazanah serta Ascendas dan UEM Land, sebagai sebab di sebalik meningkatnya momentum di kalangan syarikat-syarikat republik itu untuk melihat potensi di seberang tambak itu.

"Secara amnya, ia mewujudkan peluang meluas di kalangan komuniti perniagaan apabila kita ada Temasek dan Khazanah dalam usaha sama dan Ascendas pula berganding bahu dengan UEM.

"Ia mewujudkan kelompok besar dan momentum kesedaran (di kalangan ahli perniagaan Singapura)," kata beliau kepada pemberita di luar Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) yang kelapan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Persada Johor di sini, Selasa.

Dan dari semasa ke semasa, beliau berkata, tekanan juga akan meningkat di kalangan usahawan kecil dan sederhana republik itu untuk menempatkan lokasi di mana-mana kerana kekurangan buruh dan tanah.

"Malaysia ialah pilihan yang logik, amat mudah dari segi keanjalan operasi dalam logistik. Ia merupakan ruang yang menarik yang membangun antara kedua-dua negara," kata Shanmugaratnam, yang juga merupakan Menteri Kewangan republik itu.

Dana kekayaan negara Malaysia dan Singapura, Khazanah Nasional dan Temasek Holdings, telah bekerjasama dalam memajukan dua bidang tanah komersil di Ophir-Rochor dan Marina Bay.

Usaha sama 60:40 antara kedua-keduanya ialah selepas niaga janji pertukaran tanah mercu untuk tanah bekas Malayan Railway di republik itu.

Khazanah dan Temasek juga sedang membangunkan "Wellness Township" di Medini dalam lingkungan koridor ekonomi Iskandar Malaysia.

Beliau berkata kedua-dua projek oleh Khazanah dan Temasek, sama ada di Singapura atau Iskandar Malaysia, berjalan lancar mengikut jadual.

Mengenai cadangan untuk kereta api berkelajuan tinggi antara kedua-dua negara, beliau berkata Malaysia telah melaksanakan kajian kemungkinan ke atas subjek itu dan akan membentangkan butirannya kepada Singapura tidak lama lagi, sambil menambah beberapa perbincangan mengenai perkara itu telahpun bermula antara kedua-dua negara.

Seramai 2,100 delegasi dari 80 negara menghadiri forum tiga hari yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Artikel Lain