suria

Peniaga Nyaris Disamun RM20,000 Di Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU: Seorang peniaga nyaris kerugian RM20,000 selepas berdepan detik hampir disamun oleh sekumpulan lelaki selepas mengeluarkan wang dari sebuah bank di sini pada 1.30 tengah hari Ahad.

Ketika kejadian, mangsa yang berusia 29 tahun itu baru mengeluarkan wang daripada sebuah institusi perbankan di bandaraya ini dengan ditemani isteri serta seorang anaknya yang masih kecil.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP K.Manoharan berkata ketika tiba di persimpangan lampu isyarat berhampiran Bukit Tunggal, di sini, mangsa menyedari dia telah diekori oleh sebuah motosikal.

"Namun setelah beberapa meter meneruskan perjalanan mangsa menyedari tayar keretanya pancit dan turun dari kereta dan melihat terdapat paku pada tayar keretanya.

"Semasa mangsa turun untuk melihat keadaan tayar keretanya dia didatangi lelaki yang sama tidak lama kemudian," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di sini Isnin.

Manoharan berkata mangsa yang mengesyaki sesuatu terus memegang lelaki itu sebelum berlaku pergelutan antara mangsa dan suspek yang dipercayai warga Indonesia itu.

"Bagaimanapun suspek berjaya melepaskan diri berlari menuju ke arah dua rakannya yang sedang menanti dalam sebuah kereta berhampiran dan meninggalkan motosikalnya," kata beliau.

Katanya mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Gong Badak, di sini dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyamun.

Menurutnya hasil semakan awal polis mendapati nombor plat kereta yang digunakan itu palsu manakala motosikal yang ditinggalkan suspek pula masih dikesan pemiliknya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

UPM Bakal Jadi Duta Pelancongan

Artikel Berikut

Artikel Lain