suria

Pembangkang Terlalu Lemah, Gagal Menangi Hati Rakyat -Kayveas

KUALA LUMPUR: Komponen pakatan pembangkang terlalu rapuh hingga menjadikan Pakatan Rakyat lemah dan tidak berdaya memenangi hati rakyat sebagaimana Barisan Nasional (BN), kata Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP)Datuk M.Kayveas.

"Mereka (pembangkang) berjalan di atas titi yang rapuh. DAP adalah musuh ketat PAS pada satu masa dahulu kini sanggup tidur atas bantal yang sama.

"Walhal yang satu memperjuangkan negara sekular dan satu lagi mencanangkan negara Islam dan hukum hudud. "Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjadi orang tengah bagi memastikan DAP dan PAS tidak bercerai talak tiga. Ikatan yang cukup lemah ini dijalin hanya semata-mata utuk merampas Putrajaya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Perhimpunan Agung Tahunan PPP ke-59 yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Pusat Dagangan Dunia Antarabangsa (PWTC) di sini, Ahad.

Kayveas berkata rakyat telah bosan dan muak dengan politik yang menjurus kepada fitnah peribadi sebaliknya rakyat sudah sedar akan kepincangan dan pendustaan pembangkang yang hanya suka menabur janji.

Pembangkang sebenarnya tidak boleh menandingi kekuatan BN kerana mereka sangat lemah, tiada kesepakatan dan tidak ada toleransi, katanya.

Menurutnya, menjelang pilihan raya, parti komponen dalam BN perlu memenangi hati dan keyakinan rakyat dan sentiasa memastikan rakyat Malaysia berada di padang yang sama rata.

"PPP sebagai saudara kepada Umno telah lama bersiap-sedia, menyiap dan memperkemas jentera parti dan juga diri sendiri dalam menyertai bala tentera B Nmenghadapi pilihan raya," katanya.

Terdahulu di majlis itu, Najib mengumumkan beliau akan membayar premium RM15 kepada 4,047 perwakilan PPP melalui satu skim insurans khas untuk perlindungan maksimum hingga RM20,000.

Insurans Kelompok PPP itu terbuka kepada semua ahli PPP dan mereka yang berminat hanya perlu memberi nama, nombor kad pengenalan dan nombor ahli sahaja untuk layak dalam skim itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

UPM Bakal Jadi Duta Pelancongan

Artikel Berikut

Artikel Lain