suria

Parti Komponen BN P.Pinang Diingat Ketepikan Isu Polemik, Wujud Persefahaman

GEORGE TOWN: Parti komponen Barisan Nasional (BN) peringkat akar umbi di Pulau Pinang diingatkan untuk mengetepikan isu polemik dan wujudkan persefahaman bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU-13).

Pengerusi BN negeri Teng Chang Yeow berkata Gerakan dan MCA telah berusaha keras untuk ketepikan isu polemik dan politik sejak 40 tahun lalu dan bekerjasama untuk kepentingan rakyat.

"Kita harus wujud persefahaman ini dalam masa tergenting untuk BN. Inilah yang kita perlukan dari parti komponen yang lain. Cerita lama harus diketepikan kerana ia adalah untuk catatan sejarah dan bukan dibawa ke hadapan," katanya.

Teng berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Belia Hindu Pulau Pinang yang ke-23 di sini Ahad.

Katanya program Jejak Kasih diwujudkan dalam kalangan parti komponen BN untuk memantapkan jaringan kerjasama dan bersama-sama mencari jalan penyelesaian untuk setiap isu yang dihadapi setiap parti komponen.

Teng berkata sokongan padu harus diberikan kepada calon PRU-13 yang bakal diputuskan oleh pucuk pimpinan BN pusat dan penekanan kerjasama antara parti komponen menjadi kekuatan BN.

Katanya kerjasama dan persefahaman antara parti komponen BN amat penting untuk menghadapi PRU-13 nanti dan BN Pulau Pinang tidak mahu isu calon menjadi penyebab kekalahan parti di negeri itu.

"Semua parti komponen sudah kemukakan calon masing-masing kepada pucuk pimpinan BN pusat dan kini sedang melalui proses penelitian. Kami masih menunggu keputusan daripada BN pusat," katanya.

Sementara itu, Teng berkata Majlis Belia Hindu Pulau Pinang harus membuat satu perancangan jangka panjang bagi mengatasi masalah terutamanya gejala sosial yang dihadapi golongan belia Hindu.

Katanya BN Pulau Pinang akan membantu Majlis Belia Hindu negeri itu mencari penaja untuk mendapatkan bangunan sendiri bagi kegunaan aktiviti sosial demi kepentingan dan pembangunan kaum India. BERNAMA

Artikel Lain