suria

Puteri P.Pinang Bentang Lima Usul Ekonomi, Dakwa Kerajaan Negeri Gagal Basmi Kemiskinan

Haslina Abu Hassan. Foto BERNAMA
Haslina Abu Hassan. Foto BERNAMA
Haslina Abu Hassan. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Wakil Umno dari P.Pinang mencadangkan lima usul dalam meningkatkan hal perekonomian negara.

Ketua Puteri Umno Bahagian Bukit Mertajam Haslina Abu Hasan berkata usul dibuat berdasarkan senario ekonomi semasa peringkat negara dan pendedahan isu ekonomi di P.Pinang.

"Puteri Pulau Pinang ingin mengusulkan agar diperuntukkan satu dana khas pelaburan untuk golongan berumur 18 hingga 35 tahun sahaja.

"Permodalan Nasional Berhad (PNB) perlu merangka dana pelaburan khas ini bagi memastikan masa depan dan kelangsungan bumiputera Malaysia dipelihara," katanya ketika membahaskan usul ekonomi pertama pada Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), dekat sini, Rabu.

Haslina berkata bagi mengelakkan syak wasangka rasis yang sering diuar-uar kan oleh gerombolan pembangkang, beliau mencadangkan agar dana khas pelaburan dibuka pada kadar tertentu untuk pelbagai kaum.

Sementara itu, Haslina dalam usul kedua mencadangkan supaya semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mempunyai rasa tanggungjawab dengan memperuntukkan 20 peratus keuntungan bersih semasa untuk disalurkan kepada projek kebajikan rakyat seperti yang dilaksanakan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Bagi memudahkan proses pembayaran kepada peminjam Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional, kadar faedah pinjamannya dicadang dikurangkan kepada dua peratus.

Terdahulu, Haslina dalam membahaskan usulnya berkata kerajaan negeri gagal membasmi masalah miskin tegar selama memerintah walaupun pelbagai projek dilaksanakan untuk tujuan itu.

Beliau turut menyentuh tentang projek 'top up' kerajaan P.Pinang untuk melangsaikan masalah miskin tegar dengan menambah nilai pendapatan isi rumah menjadi RM770, melepasi garis kemiskinan (Poverty Line Indicator) RM763 sebulan di semenanjung Malaysia.

"Soalnya sekarang sejauh manakah usaha ini akan berjaya atau ketua gerombolan (pembangkang) mahu membeli undi rakyat secara tersirat di kalangan mereka yang berpendapatan rendah.

"Oleh itu mereka yakin dengan taktikal sebegini cara membeli undi rakyat tidak dapat dikesan atas nama pembasmian kemiskinan," katanya.

Selain itu turut dicadangkan agar pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh mengeluarkan 10 peratus kadar untung untuk pencarum yang telah mencarum selama lima tahun dan ke atas.

Manakala untuk penjawat awam dan guru yang mempunyai kelulusan Sarjana dan Doktor Falsafah, Haslina mencadangkan agar mereka diberikan satu skim khas gred gaji.

"Walaupun usul ini dilihat sesuai untuk usul pendidikan, namun dalam hal skim gaji ia dimasukkan ke dalam usul ekonomi kerana ia melibatkan konsep negara berpendapatan tinggi," katanya.

Dalam pada itu beliau turut memuji kepimpinan perdana menteri yang telah berjaya mengubah landskap ekonomi negara menerusi Pelan Transformasi.

Artikel Lain