suria

Dekati Golongan Muda & Pengundi Atas Pagar - Shahrizat

KUALA LUMPUR: Wanita Umno perlu mendekati golongan pengundi muda dan pengundi atas pagar bagi menggelakkan 'sindrom penolakan' terhadap parti itu.

Ketua Wanitanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata golongan tersebut perlu diajak menyertai Umno bagi memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Kita perlu mendekati pengundi muda tanpa menceroboh intelek mereka, elakkan dari gagal untuk menerima perbezaan pendapat, elakkan dari menjadi pemimpin yang mempuyai tahap ‘denial syndrome’ yang tinggi, kita mesti bersedia mendengar, dan bajakan kempen dengan idea baru yang segar dan subur.

“Kita perlu wujudkan suasana senang dalam parti. Ini perlu kita lakukan supaya anak-anak muda dan orang atas pagar menyertai parti kita. Golongan ini perlu sekali didekati, bukannya dimusuhi,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sayap Wanita Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Rabu.

Menurutnya,keputusan PRU ke-12 merupakan ‘wake up’ call kepada Wanita Umno kerana ia telah meninggalkan implikasi yang cukup besar kepada Umno.

“Kita tidak boleh leka kerana perkembangan politik hari ini menunjukkan kita mempunyai banyak lagi cabaran di depan. Kesan krisis politik dunia yang berlaku pada hari ini juga melimpah ke negara kita.," katanya.

Justeru, beliau berkata semua ini adalah cabaran yang perlu segera diatasi kerana Umno satu-satunya wadah perjuangan yang dapat menjaga negara ini dari kehancuran.

“Demi masa depan negara, kita tidak boleh bergantung kepada parti pembangkang mahupun kepimpinan mereka. Mereka bukan sahaja tidak ada pengalaman memerintah, tetapi mereka adalah parti yang tidak mengamalkan kesederhanaan, rigid, dan mempunyai sikap politik yang amat menakutkan,” katanya.

Beliau berkata, pembangkang dakwa Umno tidak bebas, tidak adil dan tidak boleh menerima perbezaan pendapat, tetapi realiti adalah sebaliknya.

“Merekalah yang kuat mengutuk, mengeji, menghina, mengaib, memfitnah dan mendoakan kemusnahan orang di stadium apabila isu yang dibahaskan bertentangan dengan kehendak dan fahaman mereka.

“Mereka kata kitalah yang menyokong membuta tuli apa yang kerajaan buat, tetapi realitinya merekalah yang menyokong apa sahaja yang dibuat oleh pemimpin mereka walaupun tidak ada logik, tidak munasabah dan akan membawa kepada kehancuran negara,” katanya.

Bukan setakat itu, Shahrizat menegaskan mereka menghalalkan apa jua cara politik dalam memastikan Putrajaya dapat ditakluki.

Jelasnya, sikap pembangkang yang sedemikian tentunya tidak layak untuk memerintah negara kerana ia memusnahkan ummah.

“Terkini orang PAS telah berdoa di stadium sehingga melukakan hati-hati rakyat Malaysia. Tapi kita dalam Umno tidak bersikap begitu.

“Saya ingin tegaskan kita tidak mahukan permusuhan dengan sesiapapun kerana kita tahu permusuhan tidak membawa apa-apa kebaikan, melainkan kemusnahan, kesusahan rakyat dan seumpamanya.

Shahrizat berkata dalam menghadapi setiap tohmahan dan permainan politik kotor ini, Wanita Umno perlu kuat dan bersatu demi memperkasakan parti.

“Saya sedih dan amat kesal dengan sikap parti pembangkang. PAS, sebuah parti konon katanya Islam, masih jauh dari mengamalkan cara hidup berpolitik dan bermasyarakat secara Islam.

“Sehingga kini terlalu sombong untuk bertegur sapa sesama Islam semata-mata kerana datang dari parti yang berlainan,” katanya.

Dalam usaha memperkasakan sokongan kaum bukan Melayu, Shahrizat yang juga bekas Menteri Pembangunan Keluarga dan Masyarakat ini berkata mengeratkan silaturrahim dengan semua kaum.

“Kita bukan sahaja perlu merapatkan kesenjangan antara kita dan bukan Melayu dalam semangat 1Malaysia, tetapi juga mengelakkan perpecahan di kalangan dikalangan ahli dan pimpinan parti di semua peringkat.

“Kita perlu bersatu bagi mengelakkan jentera parti kita lemah dan membuka ruang kepada pembangkang untuk mengambil kesempatan,” katanya.

Jelasnya, persaingan yang penting adalah persaingan dalam memastikan perpaduan dan kerjasama kebaikan parti, bangsa, agama dan negara serta bukannya membawa kepada kehancuran.

“Perpecahan undi Melayu akan melunturkan kuasa politik Melayu yang sedia ada. Pada hari ini kuasa ekonomi bukan di tangan orang Melayu. Adakah kita sanggup hilang kuasa politik juga?.

“Jika Umno lemah maka percayalah risikonya akan dirasai oleh semua kaum. Jika Melayu bersatu dan kuat dan menjadi tulang belakang kerajaan yang dipilih, semua kaum, semua lapisan masyarakat akan dapat meraih kestabilan politik negara,” katanya.

Dalam usaha menjadikan Umno sebuah parti Melayu yang kekal relevan, Shahrizat berkataparti itu tidak boleh lagi berada ditahap lama dan perlu menyesuaikan pendekatan politiknya dengan tuntutan semasa.

“Kerajaan juga telah melaksanakan pelbagai program kebajikan untuk melawan konsep negara kebajikan dengan yang lebih praktikal dan relevan.

“Konsep negara kebajikan pembangkang hanya akan membankrapkan ekonomi negara dan satu konsep yang cukup tidak bertanggungjawab kepada ekonomi negara.

“Banyak yang dijanjikan untuk diberikan percuma kepada rakyat tanpa mengambil kira keupayaan perbelanjaan negara,” katanya.

Artikel Lain