suria

Perwakilan Perhimpunan Agung Umno Dinasihat Tidak Sentuh Isu Sensitif - Tengku Adnan

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menasihatkan agar semua perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno 2012 supaya tidak membangkitkan isu sensitif dan tidak menyakiti pihak lain.

Tengku Adnan berkata, beliau meminta kesemua mereka yang akan membentangkan usul itu nanti menjaga etika masing-masing.

"Setiap wakil dinasihatkan tidak membangkitkan isu sensitif sehingga ada pihak yang mungkin terasa hati dengan kenyataan atau teguran yang bakal disuarakan pada persidangan itu nanti.

"Kita minta supaya mereka beretika. Hendak sebut-sebutlah, tetapi jangan menyakiti orang lain," katanya pada Taklimat Media Perhimpunan Agung Umno 2012 di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan perwakilan membahaskan usul-usul yang melibatkan isu-isu sensitif seperti hudud yang sering disuarakan banyak pihak.

Tengku Adnan berkata, seramai 4,447 perwakilan dijangka hadir pada Perhimpunan Agung Umno 2012 yang berlangsung selama lima hari dari 27 November hingga 1 Disember di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

"Seramai 1,322 media dari dalam dan luar negara akan membuat liputan sepanjang perhimpunan berlangsung. Kami turut menjemput 52 delegasi daripada 20 parti dari 18 negara sebagai pemerhati," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain