suria

Polis Tumpas Sindiket Samun, Tahan Sembilan Lelaki

PETALING JAYA: Polis berjaya menumpaskan satu sindiket samun bersenjata dengan menahan sembilan lelaki dan merampas tujuh kenderaan, dengan seorang pegawainya cedera parah dalam operasi di Kampung Baru Subang, di sini pada Selasa lepas.

Ketua operasi, Insp Saiful Bahari Yunus, 28, dari Pasukan Jenayah Berat (D9) Kontinjen Polis Selangor, patah lengan kiri dan retak tulang pipi kiri akibat terjatuh dari bumbung rumah ketika mengejar dua daripada sembilan penjenayah di atas bumbung dalam kejadian kira-kira 5.40 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata pegawai itu mengalami pendarahan dalaman dan dalam keadaan stabil setelah menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

"Beliau cedera ketika isterinya berada dalam pantang melahirkan anak kedua mereka di Ipoh, Perak. Inilah bukti komitmen kami dalam banteras jenayah," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Beliau berkata biarpun pegawainya cedera namun kesembilan penjenayah terbabit yang berumur antara 18 dan 30 tahun berjaya ditahan dan kini direman untuk siasatan sehingga esok.

Mohd Adnan berkata polis juga merampas dua kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux, empat buah Proton dan sebuah kereta Honda Civic serta tiga bilah parang.

Beliau berkata setengah jam sebelum operasi, sindiket itu dikesan setelah empat anggotanya menyamun seorang penyelia syarikat swasta berumur 46 tahun dengan bersenjatakan parang dan melarikan sebuah Toyota Hilux.

Mereka menyamun penyelia tersebut di simpang empat berdekatan dengan Tesco Extra Bukit Puchong, Puchong di sini pada 4.50 petang.

"Ketika kejadian dua saksi lelaki dan penyelia itu diberikan amaran agar tidak melawan mereka jika tidak mahu dicederakan sebelum mereka melarikan kenderaan terbabit yang bernilai RM102,000," katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati seorang daripada sembilan penjenayah terbabit mempunyai rekod lampau dalam kes samun.

Katanya kumpulan itu didapati aktif sejak setahun lalu dan terlibat dalam kes samun menggunakan kenderaan dicuri di sekitar Selangor dan Pulau Pinang. - BERNAMA

Artikel Lain