suria

Isu Talam: MB Enggan Layan Dakwaan Selepas Dedah Kertas Putih

SHAH ALAM: Selepas mendedahkan kertas putih berhubung pelunasan hutang Talam Corporation Bhd, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan kerajaan negeri enggan melayan lagi sebarang dakwaan berkaitan isu berkenaan.

Menurut Abdul Khalid, beliau yakin rakyat akan mendapat gambaran secara menyeluruh tentang kontroversi penstrukturan hutang Talam yang dibangkitkan Barisan Nasional (BN).

"Berdasarkan kertas putih ini kita yakin rakyat akan mendapati bahawa usaha kerajaan negeri selama ini dilakukan secara telus, jujur dan bertanggungjawab.

"Justeru kita tidak akan melayan lagi dakwaan-dakwaan pada masa akan datang," katanya pada sidang media di bangunan Annex Dewan Undangan Negeri Selangor di sini, Selasa.

Selain itu katanya rakyat boleh memuat turun kertas putih berkenaan daripada laman wab rasmi kerajaan negeri bermula esok.

"Dalam kertas putih ini kita perjelaskan fakta bagaimana hutang-hutang ini berlaku, pelunasan hutang kepada Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dan sebab-sebab bagi kutipan hutang ini dilakukan," katanya.

Pada Selasa, kerajaan Selangor akhirnya mendedahkan kertas putih berhubung isu penyusanan hutang Talam selepas ditangguhkan selama dua tahun yang sepatutnya didedahkan pada 2010.

Menerusi kertas putih itu dinyatakan bahawa penyusunan hutang Talam oleh kerajaan Selangor melalui MBI dilakukan tanpa menggunakan wang awam.

Menerusi laporan kertas putih itu dinyatakan bahawa kerajaan Selangor berjaya mengutip semula jumlah hutang sebanyak RM392 juta daripada Talam menggunakan kos RM420,000.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain