suria

Obama Beri Respons Positif Gesan Supaya Hentikan Keganasan Di Gaza

PHNOM PENH: Presiden Amerika Syarikat Barack Obama memberi respons positif kepada gesaan oleh Indonesia dan Malaysia dalam usaha untuk menghentikan keganasan yang berlaku di Gaza sekarang.

Najib berkata Obama memaklumkan kepada beliau pagi ini bahawa beliau (Obama) membuat beberapa panggilan telefon malam semalam dalam usaha untuk menghentikan keganasan susulan langkah kedua-dua negara itu membangkitkan isu berkenaan pada Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Asean-Amerika Syarikat di sini malam Isnin.

"Dalam pertemuan itu, saya memohon kepada Obama agar bertindak untuk menghentikan keganasan yang sedang berlaku di Gaza dan mencari penyelesaian jangka sederhana dan panjang berdasarkan penyelesaian dua negara (seperti yang dicadangkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) sebagai asas kepada resolusi konflik itu," kata Najib kepada media Malaysia di sini, Selasa.

Pemimpin berkenaan bertemu sekali lagi pagi ini semasa Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Perkongsian Rentas Pasifik di sini.

"Obama memaklumkan kepada saya pagi ini bahawa beliau telahpun bertindak dengan membuat beberapa panggilan telefon malam semalam," kata Najib.

"Obama berkata beliau akan cuba. Beliau mahu supaya keganasan yang berlaku sekarang dihentikan dan beliau tahu bahawa untuk mencari penyelesaian yang menyeluruh dan muktamad merupakan satu tugas yang sangat besar.

"Kami tahu tentang cabaran dan betapa rumitnya isu ini. Saya fikir di pihak beliau ada hasrat untuk mencari penyelesaian muktamad kepada perkara ini," kata Najib.

Israel melancarkan operasi serangan terkini yang dipanggil 'Pillar of Defence' di Gaza sejak 14 November, mengakibatkan sekurang-kurangnya 40 orang terkorban dan lebih 300 lagi cedera.

Malaysia mengutuk serangan itu dan kerajaan Malaysia hari ini membentangkan usul tergempar berhubung perkara itu di Parlimen.

Najib berkata Malaysia menggesa Amerika Syarikat supaya mencari masa yang sesuai untuk menghidupkan semula rundingan berdasarkan penyelesaian dua negara itu. -BERNAMA

Artikel Lain