suria

M'sia Sedia Hantar Tentera Pengaman Ke Gaza Jika Diperlukan - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia menghantar tentera pengaman sekiranya terdapat permintaan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mewujudkan keamanan di Gaza, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata setakat ini badan dunia itu tidak membuat sebarang ketetapan untuk menghantar pasukan pengaman di wilayah bergolak itu.

"Hantar atau tidak (tentera) bergantung kepada permintaan daripada badan dunia yang lain.

"Namun, kita telah buktikan bahawa angkatan tentera kita di tahap terkehadapan untuk mewujudkan keamanan contohnya Pasukan Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon (Unifil)," katanya kepada pemberita semasa menghadiri Sambutan Hari Inovasi di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Dr Ismail Ahmad dan panglima ketiga-tiga perkhidmatan tentera.

Beliau berkata ketika ini usaha sedang dilakukan ke arah mencapai perjanjian genjatan senjata antara rejim Israel dan pihak Hamas di Gaza.

"Bagi kita pendirian ketua-ketua kerajaan Asean ialah pihak Israel dan Hamas hendaklah menghentikan apa yang dilakukan (serangan bom)," katanya.

Serangan Israel ke atas wilayah Palestin sejak 15 Nov lepas telah mengakibatkan lebih 100 penduduk Gaza terbunuh termasuk kanak-kanak dan warga tua, serta mencederakan ratusan yang lain.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid menyampaikan lima kategori anugerah Inovasi iaitu Pengurusan Projek, Pelanggan, Kewangan, Sumber Manusia dan pengurusan Teknologi Maklumat.

Sebanyak 22 projek hasil inovasi dan Kumpulan Kreatif dan Inovatif dipamerkan semasa sambutan itu yang berakhir esok. BERNAMA

Artikel Lain