suria

Lynas Dijangka Mulakan Pengeluaran Disember Ini

MELBOURNE: Syarikat perlombongan bumi nadir, Lynas berkata setahun lepas merupakan tahun mencabar baginya tetapi menjangka pengeluarannya di kilang di Gebeng, Pahang, akan dimulakan pada Disember, selepas mengalami kelewatan berikutan kebimbangan mengenai alam sekitar dan politik.

Pengerusi Eksekutif Lynas Nicholas Curtis berkata syarikat itu dijangka menjana pengeluaran penuh menjelang separuh kedua 2013 dan berpotensi menjana pendapatan mampan dan yang boleh diramal.

Beliau, yang dipetik semasa berucap pada mesyuarat agung tahunan syarikat itu di Sydney Selasa oleh Australian Associated Press, sebagai berkata bahawa prestasi pasaran saham jangka pendek bukanlah fokus utama pengurusan syarikat itu.

Katanya syarikat itu perlu mengambil masa satu hingga dua tahun bagi mencapai wawasan jangka panjangnya.

Perolehan pengeluaran dijangka mengalir mulai suku pertama 2013, kata Curtis.

Selepas mencapai paras ketinggian tidak mampan, harga nadir bumi kini telah jatuh dan pertumbuhan permintaan dijangka meningkat semula, kemungkinan sebaik separuh kedua 2013, katanya.

Selepas berhadapan proses kelulusan dan cabaran perundangan dari penduduk tempatan dan aktivis, kilang Advance Materials Lynas di Gebeng kini telah mendapat lesen beroperasi sementara.

Bagaimana pun, pihak yang menentang menyatakan lombong berkenaan akan mencemar kawasan tanah berhampiran dan masih berusaha menangguhkan pelaksanaan lesen berkenaan dan telah merayu dengan Mahkamah Tinggi Malaysia.

Kelewatan pengeluaran pertama juga telah memaksa Lynas mengumpul A$200 juta dengan menerbitkan saham baharu baru-baru ini.

Harga saham Lynas telah menerima kesan buruk baru-baru ini dengan mencatatkan paras paling rendah A$0.55 cent, yang turun daripada A$1.165 berbanding setahun lepas. -BERNAMA

Artikel Lain