suria

Cadangan Pinda Undang-Undang Bangunan Hadapi Gempa Bumi

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bercadang meminda Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984 bagi memasukkan peruntukan berhubung kualiti dan keselamatan bangunan untuk menghadapi gempa bumi.

Menterinya, Datuk Chor Chee Heung berkata perkara itu akan dibincangkan dengan Jabatan Kerja Raya, antaranya, bagi memastikan kualiti bangunan dan mutu keselamatan lebih baik selain mengenal pasti tindakan terbaik untuk menghadapi bencana gempa bumi.

"Walaupun negara kita belum lagi berlaku gempa bumi yang boleh merisikokan keselamatan bangunan dan kejadian tanah runtuh, tetapi kita perlu ada perancangan awal," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Antarabangsa Kebakaran 2012 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, Selasa.

Seramai 1,300 peserta terdiri daripada pegawai bomba, arkitek, perunding keselamatan dari 22 negara menghadiri persidangan dua hari itu yang bertemakan 'Fire Safety-The Way Forward'.

Turut diadakan ialah pameran produk kebombaan dan keselamatan terkini oleh pelbagai syarikat dari dalam dan luar negara antaranya Hong Kong, Singapura dan New Zealand.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim. -BERNAMA

Artikel Lain