suria

Pemaju Perumahan Iklan Projek Sebelum Kelulusan Diberi Amaran

ALOR SETAR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung memberi amaran kepada pemaju perumahan supaya tidak mengiklankan penjualan rumah di akhbar sebelum projek diluluskan Jabatan Perumanan Negara (JPN).

Katanya, banyak pemaju didapati melanggar peraturan permit iklan dan penjualan rumah dan kesalahan ini boleh dikenakan denda maksimum RM250,000.

"Sehubungan itu beberapa syarikat telah diberi notis oleh JPN untuk dikenakan denda maksimum kerana sengaja melanggar peraturan tersebut," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kunci projek perumahan Taman Seri Derga Fasa 3, Derga di sini, Ahad.

Seramai 21 pembeli rumah projek terbengkalai taman itu menerima kunci rumah masing-masing daripada Chor.

Ahli Parlimen Alor Setar itu menyarankan syarikat-syarikat akhbar meneliti dan mengkaji iklan pemaju perumahan sebelum mengiklannya dalam akhbar mereka.

"Saya harap syarikat akhbar tidak fikirkan keuntungan saja. Mereka perlu ada tanggungjawab untuk periksa iklan penjualan rumah yang hendak dibuat," kata Chor.

Katanya sebanyak 11 projek perumahan swasta diisytiharkan sebagai projek terbengkalai sejak 2009 hingga sekarang di Kedah dan enam daripadanya telah siap manakala lima lagi dalam peringkat pemulihan.

Beliau berkata di seluruh negara terdapat 178 projek perumahan swasta membabitkan 55,122 unit rumah terbengkalai sejak 2009 hingga tahun ini dan 63 peratus telah siap manakala bakinya dalam proses pemulihan.

Pengerusi Persatuan Pembeli Rumah Taman Seri Derga Fasa 3, Khairul Anuar Mohd Salleh, 34, berkata dia serta pembeli rumah yang menerima kunci amat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan persekutuan menyelesaikan masalah yang membelenggu mereka hampir lima tahun. - BERNAMA

Artikel Lain