Kehadiran Pekerja Bantut Usaha Empat Lelaki Samun ATM - Semasa | mStar

Kehadiran Pekerja Bantut Usaha Empat Lelaki Samun ATM

KUALA LUMPUR: Kehadiran seorang pekerja membantutkan usaha empat penjenayah yang cuba memecahkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di stesen minyak di Batu 13, Jalan Klang Lama-Puchong, di sini Selasa.

Dalam kejadian pukul 6.30 pagi itu, empat suspek yang bertopi keledar bertutup muka terpaksa berputih mata selepas perbuatan mereka disaksi pekerja berusia 60 tahun berkenaan yang tiba untuk memulakan perniagaan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata ketika tiba untuk bekerja, warga emas itu terdengar suara orang dari dalam premis dan ternampak percikan api.

Menyedari perbuatan mereka diperhati pekerja itu, dua suspek dengan seorang daripadanya bersenjatakan besi keluar dan mengheret mangsa ke belakang kedai sebelum memijak serta memukulnya, katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurutnya empat suspek terbabit kemudian melarikan diri menaiki dua motosikal.

Hasil siasatan di tempat kejadian, polis menemui dua tong gas 'oxy acetelyne, peralatan kimpal) dan sebatang besi yang ditinggalkan di hadapan mesin ATM di dalam stesen minyak berkenaan.

"Suspek tidak berjaya mengeluarkan wang dari mesin itu walaupun dinding besi di bahagian hadapan mesin berjaya dipotong," kata Yahaya.

Rakaman kamera litar tertutup berjaya merakamkan pergerakan tiga suspek berkenaan dengan 'full face helmets' berwarna putih dan biru sebelum kamera itu disembur dengan cat hitam.

"Siasatan mendapati premis yang ditutup pada 11 malam dan dibuka pada 6 pagi setiap hari itu tidak mempunyai pengawal. Lampu yang dipasang juga tidak begitu terang," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu rompakan menyebabkan kecederaan kepada mangsa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain