suria

Rakyat Kelantan Perlu Lakukan Perubahan Politik Demi Masa Depan - Ibrahim

KOTA BAHARU: Rakyat Kelantan perlu membuat perubahan politik dengan memilih kerajaan negeri yang berupaya membawa pembangunan dan masa depan lebih terjamin, kata Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali.

Beliau berkata kerajaan negeri sekarang kurang berkesan dalam menyelesaikan pelbagai masalah yang menghimpit rakyat termasuk isu kemiskinan, peluang pekerjaan yang terhad dan keadaan infrastruktur yang kurang berbanding negeri lain.

"Kita (Kelantan) ada bahan mentah, alam semula jadi yang cantik, modal insan yang banyak, tenaga buruh yang murah. Apa yang kita hendak ialah pemimpin kerana enjin kepada pertumbuhan ekonomi ialah kepimpinan," katanya kepada pemberita selepas berucap pada Mesyuarat Agung Perkasa Negeri Kelantan di sini, Jumaat.

Ibrahim yang juga Anggota Parlimen Pasir Mas berkata sesebuah negeri boleh dimajukan dengan berkesan sekiranya mempunyai kepimpinan yang berinovasi dan kreatif untuk menarik pelabur dalam pelbagai bidang di negeri itu di samping membangunkan modal insan.

Beliau berkata destinasi pelancongan seperti Pantai Sri Tujuh di Tumpat dan Pantai Cahaya Bulan di sini sepatutnya dibangunkan dengan hotel dan resort bertaraf lima bintang yang akan mewujudkan perniagaan hiliran selain peluang pekerjaan kepada rakyat.

Menurutnya, Sungai Kelantan mempunyai potensi besar untuk menarik kedatangan pelancong sekiranya ia diperindah termasuk mewujudkan restoran terapung dan aktiviti air.

Namun ia tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh kerajaan negeri sekarang, kata Ibrahim. "Sama-sama kita membuat perubahan politik dengan harapan Kelantan nanti dapat ditadbir oleh pertubuhan politik yang mempunyai keupayaan dan modal insan untuk membangunkan negeri ini," tambah beliau. -BERNAMA

Artikel Lain