suria

Dua Warga Iran Dijatuhi Hukuman Penjara Sembilan Tahun

SHAH ALAM: Dua lelaki warga Iran pada Isnin masing-masing dihukum penjara sembilan tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi selepas mengaku bersalah memiliki dadah jenis methampethamine yang dijumpai dalam bagasi mereka pada 2010.

Hakim Nurchaya Arshad menjatuhkan hukuman itu terhadap Mehdi Bambad Tazeh Kandi Bahman dan Ebrahim Ashghipouukhalilabad Esmael, kedua-duanya 26 tahun, dan memerintahkan hukuman penjara itu berjalan dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 4 April 2010.

Mereka yang mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan, didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan sekurang-kurangnya 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan tuntutan bagasi D, Aras 3, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor, 7.30 pagi 4 April 2010.

Sebelum ini, mereka didakwa atas pertuduhan mengedar dadah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, mereka menukar pengakuan selepas pendakwaan mengemukakan pertuduhan pilihan iaitu memiliki dadah.

Terdahulu, ketika rayuan terhadap hukuman, peguam mewakili Mehdi Bambad, Gooi Soon Seng meminta mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh atau lapan tahun ke atas anak guamnya sebab dadah jenis methampethamine tidak memberikan kesan khayalan seperti dadah jenis heroin ataupun kokain.

Peguam mewakili Ebrahim, K.Theivaendran, pula berkata hukuman penjara antara enam hingga lapan tahun adalah cukup memadai untuk anak guamnya atas alasan dadah yang dimilikinya tidak mengakibatkan kesan sosial serius seperti dadah jenis lain.

Timbalan Pendakwa Raya, Zainal Azwar Kamaruddin meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh boleh mengakibatkan masalah sosial serius dalam kalangan masyarakat jika tidak dibendung.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, KLIA menahan kedua-dua tertuduh setelah dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Pemeriksaan lanjut mendapati bagasi tertuduh pertama dan kedua mengandungi serbuk putih yang dibalut plastik lutsinar yang disyaki dadah.

Analisis Jabatan Kimia mengesahkan kesemua bahan itu adalah methampethamine seberat 442.5 gram. - BERNAMA

Artikel Lain