suria

Khir Toyo Mohon Maaf Pada Ronnie Liu, Selesai Saman Fitnah

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo pada Selasa membuat permohonan maaf kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ronnie Liu bagi menyelesaikan saman fitnah terhadapnya yang dikaitkan dengan aktiviti pelacuran.

Dr Mohamad Khir membaca pernyataan maaf itu dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu kepada Liu dalam mahkamah terbuka kerana menyebabkan penerbitan artikel berbaur fitnah dalam akhbar China Press bertarikh 9 Mei 2008.

“Saya membayangkan bahawa YB Ronnie Liu Tian Khiew telah menghalang pegawai MPSJ dan pihak polis dalam penutupan sebuah hotel di Puchong di mana saya telah menyindirnya bahawa ia adalah sebuah pusat untuk aktiviti pelacuran.

“Saya turut memohon maaf kepada YB Ronnie Liu kerana terus menyindir bahawa beliau terlibat dalam aktiviti seumpama itu di mana sindiran itu sama sekali tidak benar,” katanya yang membacakan kenyataan itu.

Dr Mohamad Khir berkata, beliau begitu menyesal kerana menyebabkan tekanan teruk pada Liu berikutan penerbitan artikel itu.

“Saya dengan ini menarik balik semua kenyataan yang dibuat terhadapnya seperti yang dibuktikan dalam artikel itu dan saya memohon maaf kepadanya tanpa syarat,” katanya.

Liu yang berdiri berhampiran dengan kandang bicara tersenyum dan berkata beliau menerima permohonan maaf itu.

Artikel Lain