suria

138 Laporan Polis Berhubung Kes Pembeli Rumah Ditipu

SHAH ALAM: Polis menerima 138 laporan daripada pembeli rumah yang mendakwa mereka ditipu membabitkan beberapa projek perumahan di sekitar Meru di Klang dan Banting, bernilai antara RM150,000 dan RM250,000 seunit.

Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata laporan itu dibuat di beberapa balai polis termasuk di Subang Jaya, Gombak, Petaling Jaya, Shah Alam, Klang Utara, Klang Selatan dan Serdang.

"Kita telah mengambil kenyataan pengadu, dan dimaklumkan terdapat kira-kira 400 mangsa yang membuat pembelian menerusi satu ekspo perumahan di Kuala Lumpur pada 2006.

"Namun kesemua pembeli terbabit mendapati sehingga hari ini projek perumahan itu tidak dijalankan," kata Tun Hisan pada sidang media di sini Isnin.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lima syarikat pemaju terlibat dalam penjualan rumah jenis banglo dan teres kepada pengadu manakala enam bank tempatan pula dikaitkan dengan proses pemberian pinjaman.

"Polis akan meneliti semua dokumen daripada pihak pembeli dan menyiasat sama ada ia tulen atau sebaliknya. Polis juga akan menyiasat transaksi pembayaran yang dibuat," kata Tun Hisan.

Beliau berkata kumpulan pembeli itu mendakwa telah membuat bayaran deposit 10 peratus kepada syarikat pemaju.

Mengulas lanjut, Tun Hisan berkata wakil syarikat pemaju terbabit dikatakan telah membawa dokumen tertentu kepada pembeli dan meminta mereka menandatangani surat serta dokumen di rumah masing-masing sebelum menguruskan pinjaman bank.

"Kita akan menyiasat kes ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan polis akan meneliti semua aspek serta memanggil syarikat pemaju dan pihak bank dalam masa terdekat," katanya.

Tun Hisan berkata orang ramai diminta lebih peka dalam urusan pembelian rumah termasuk soal menurunkan tandatangan di sebarang dokumen untuk mengelak daripada ditipu. - BERNAMA

Artikel Berikut

AGM MCA Lulus 16 Resolusi

Artikel Lain