suria

Kos Infrastruktur Boleh Dikurangkan Melalui Penjimatan Kos Utiliti - Chor

KUALA LUMPUR: Kos infrastruktur bagi membantu pemaju perumahan membina lebih banyak rumah mampu milik boleh dikurangkan melalui sumbangan kerajaan atau penjimatan kos utiliti, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Chor Chee Heung.

Beliau berkata kos infrastruktur merangkumi sekitar 10 peratus daripada keseluruhan kos pembinaan rumah.

"Apabila pemaju mendapat kelulusan untuk memajukan tanah, mereka perlu berdepan dengan kos utiliti antaranya IWK (Indah Water Konsortium Sdn Bhd), tenaga dan syarikat bekalan air tempatan. "Semua ini ialah kos infrastruktur dan kalau kerajaan boleh bantu sedikit, memang ia akan kurang," katanya kepada pemberita di lobi bangunan Parlimen di sini, Khamis.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika ditemu bual di sebuah stesen radio semalam berkata kerajaan sedang menimbangkan untuk membiayai kos infrastruktur bagi membolehkan pemaju swasta membina lebih banyak rumah di bawah harga pasaran.

Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) dalam kenyataannya berhubung perkara itu dilaporkan berkata harga rumah boleh dikurangkan sehingga 10 peratus sekiranya kerajaan menampung keseluruhan pembinaan infrastruktur. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain