suria

Garis Panduan Iklan Mengelirukan Diumum Isnin Ini - Ismail Sabri

KAJANG: Satu garis panduan mengenai iklan yang mengelirukan akan diumum Isnin ini bagi melindungi pengguna daripada tertipu dengan pelbagai jenis iklan pada masa ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata garis panduan itu akan terpakai untuk semua jenis iklan termasuk di televisyen, radio dan papan iklan di seluruh negara.

"Kami juga akan bekerjasama dengan kementerian lain seperti Kementerian Kesihatan untuk barangan seperti makanan dan ubat-ubatan serta Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan mengenai iklan radio dan tv untuk pelaksanaan garis panduan ini," katanya kepada pemberita selepas menutup Simposium Gerakan Pengguna Malaysia 2012 di sini, Khamis.

Simposium empat hari berakhir hari ini, adalah yang pertama diadakan.

Ia mengumpulkan 210 anggota Gerakan Pengguna Daerah, Pembantu Hal Ehwal Pengguna Daerah dan Skuad Pengguna dari seluruh negara bagi mendapatkan maklum balas serta idea dan pandangan mereka mengenai isu-isu kepenggunaan.

Ismail Sabri berkata selain itu kementerian juga akan mengumumkan mengenai garis panduan tebus rugi bagi membolehkan pengguna memulangkan sesetengah produk yang dibeli jika ia tidak bersesuaian dengan pembeli. Beliau berkata garis panduan itu yang akan diumum tahun ini, dibuat memandangkan terdapat kedai yang tidak membenarkan pemulangan barang yang dibeli, yang merupakan satu kesalahan menurut Akta Perlindungan Pengguna 1999 di bawah terma kontrak tidak adil.

Bagaimanapun tidak semua produk boleh dipulangkan dan jenis-jenis produk yang boleh dipulangkan serta tempoh untuk pemulangan barang akan turut dimasukkan dalam garis panduan itu, katanya.

Ismail Sabri berkata mana-mana pihak yang gagal mematuhi kedua-dua garis panduan itu boleh diambil tindakan.

Terdahulu berucap pada majlis itu, beliau berkata kementerian kini di peringkat akhir pemindaan draf Akta E-Dagang untuk dibentang di Parlimen bagi melindungi pengguna daripada kes-kes penipuan pembelian secara atas talian yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Kajian oleh Jabatan Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapati majoriti rakyat negara ini mengetahui hak dan tanggungjawab mereka sebagai pengguna, namun lebih 50 peratus tidak akan mengambil tindakan jika mereka ditipu atau dianiaya peniaga, katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata 2,269 Kelab Pengguna Sekolah (KPS) telah ditubuhkan di semua sekolah menengah dengan keanggotaan 72,837 orang, manakala di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT), Gerakan Pengguna Siswa (GPS) telah ditubuhkan di 146 IPT dengan keanggotaan 10,860 orang. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain