suria

Empat Faktor Kenapa PTPTN Tidak Boleh Dimansuhkan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menggariskan empat faktor utama kenapa sebarang cadangan atau tindakan pemansuhan PTPTN akan memberi kesan yng amat besar kepada pelajar dan negara.

Empat faktor itu adalah;

(i). Ia akan menghadkan akses kepada pengajian tinggi di kalangan pelajar miskin;

(ii). Ia akan menyebabkan ketiadaan sumber untuk membiayai yuran pengajian pelajar IPTS;

(iii). Ia akan menyebabkan ketiadaan sumber untuk membiayai kos sara hidup pelajar IPTA/IPTS, di mana bagi pelajar IPTA hanya sekitar 15-30% pinjaman PTPTN digunakan untuk membayar yuran, manakala 70-85% lagi digunakan bagi menanggung kos sara hidup. Manakala bagi pelajar IPTS pula, 70% digunakan untuk yuran dan 30% untuk sara hidup; dan

(iv). Ia akan merencatkan usaha bagi merealisasikan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat pengajian tinggi negara menjelang tahun 2020.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika berkata demikian sewaktu membentangkan ucapan pengulungan Rang Undang-Undang Perbekalan (Bajet 2013) di Dewan Rakyat pada Selasa malam turut menegaskan, cadangan pihak pembangkang supaya PTPTN dihapuskan dan negara menawarkan pendidikan percuma di peringkat pengajian tinggi adalah suatu cadangan yang akan menjejaskan banyak pihak termasuk negara.

Kata Khaled, PTPTN perlu memperuntukkan dana pembiayaan sekitar RM5 bilion setahun bagi memastikan pembiayaan yang efisien dapat disediakan kepada pelajar yang layak mengikuti pengajian di Institusi Pengajian Tinggi selaras dengan hasrat Kerajaan bagi memastikan tidak ada pelajar yang gagal memasuki IPT atas sebab-sebab kewangan.

"Sehingga 31 Ogos 2012, PTPTN telah meluluskan pembiayaan pendidikan kepada 2,031,259 orang pelajar yang layak dengan komitmen sehingga pelajar tamat pengajian berjumlah RM45.4 bilion.

"Daripada jumlah tersebut, Sebanyak RM31.3 bilion telah disalurkan kepada pelajar berkenaan untuk pembiayaan pengajian mereka. Bakinya akan dikeluarkan secara berperingkat mengikut semester pengajian pelajar," ujar beliau lagi.

Mengenai cadangan supaya pinjaman PTPTN diperluaskan kepada mereka yang ingin melanjutkan pendidikan ke peringkat kedoktoran di universiti awam, beliau menjelaskan, skop penyediaan kemudahan pembiayaan pendidikan PTPTN adalah terbuka kepada pelajar-pelajar yang mengikuti program pengajian pada peringkat Diploma, Ijazah Pertama, Sarjana, Doktor Falsafah dan juga Kursus Profesional.

Mengenai pertanyaan sama ada PTPTN telah menarik balik peraturan senarai hitam nama terhadap peminjam, beliau menjelaskan, peraturan/penguatkuasaan ke atas peminjam ingkar masih dilaksanakan oleh PTPTN sehingga kini.

PTPTN kata Khaled telah melaksanakan penyenaraian hitam peminjam melalui Jabatan Imigresen Malaysia bagi peminjam IPTA/IPTS mulai pada tahun 2008. Sehingga 30 April 2012, seramai 132,801 orang peminjam telah disenarai hitamkan.

Daripada jumlah tersebut katanya lagi, seramai 26,119 orang peminjam telah membuat bayaran balik melibatkan jumlah bayaran sebanyak RM183.67 juta.

"Berdasarkan prosedur kerja sedia ada, PTPTN telah pun melaksanakan pendekatan yang fleksibel dalam mendapatkan bayaran balik pinjaman sebelum menyenarai hitam peminjam tegar atau “blacklist”.

"Tindakan menyenarai hitam adalah sebagai langkah terakhir (last resort) dalam memberikan peringatan kepada peminjam tegar, setelah pelbagai langkah peringatan supaya mula membayar balik pinjaman tidak dipedulikan oleh mereka," kata Khaled.

Dalam pada itu beliau turut menjelaskan, beberapa langkah awal yang telah diambil PTPTN memperlihatkan bahawa tindakan penguatkuasaan terutama larangan meninggalkan negara yang diambil oleh PTPTN bukanlah tindakan yang dibuat secara sewenang-wenangnya tanpa memberikan ruang kepada peminjam.

"Kami yakin peminjam berkenaan tidak akan menampilkan diri sekiranya tidak berdepan dengan tindakan larangan keluar negara yang diambil oleh PTPTN. Dari maklum balas yang dikumpul menunjukkan sikap tidak mahu membayar balik pinjaman merupakan punca utama dan bukannya ketidakmampuan pendapatan," jelasnya.

Menjawab kembali persoalan yang dianjurkan oleh ketua pembangkang serta ahli-ahli parlimen pembangkang agar Kerajaan memberikan pendidikan percuma seperti amalan di Turki dan menghapuskan PTPTN, Khaled menjelaskan seperti berikut;

"Pengajian tinggi adalah merupakan sebahagian daripada proses pendidikan yang bermula daripada peringkat rendah dan menengah. Sistem pendidikan negara pada masa ini mewajibkan pendidikan rendah dan menengah dan Kerajaan membiayai sepenuhnya kos pendidikan di peringkat tersebut.

"Manakala, pengajian tinggi pula adalah bersifat pilihan apabila individu boleh memilih untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi atau memasuki alam pekerjaan. Ia merupakan pelaburan yang boleh meningkatkan keupayaan seseorang individu untuk bersaing merebut peluang kerjaya dan pendapatan yang lebih baik.

"George Psacharopoulos yang merupakan pakar daripada Bank Dunia melalui kajian bertajuk “Returns To Investment In Higher Education : A European Survey” menyatakan keputusan untuk memilih pengajian tinggi adalah merupakan satu perlaburan kepada individu dan pulangan yang diperolehi oleh individu hasil daripada pengajian tinggi juga adalah lebih besar iaitu 10.2% berbanding 7.9% oleh masyarakat."

Justeru itu katanya, adalah wajar individu membiayai sebahagian perlaburan tersebut daripada ditanggung keseluruhannya oleh pembayar cukai (orang awam).

Pendidikan percuma anjuran pembangkang katanya telah memberi isyarat yang salah dari segi harga pendidikan yang menyebabkan ‘over-education’ kerana pengguna membuat keputusan yang tidak betul dari segi pelaburan pendidikan.

Menurut beliau, kos pengajian tinggi harus dikongsi bersama oleh pembayar cukai (orang awam) dengan individu kerana pengajian tinggi mempunyai ciri “quasi public goods”.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain