suria

Lebih 20,000 Pesakit Kronik Dapat Manfaat Tabung Bantuan Perubatan

KUALA LUMPUR: Seramai 20,624 pesakit kronik mendapat manfaat daripada Tabung Bantuan Perubatan (TBP) sejak tabung itu diwujudkan pada 2005, persidangan Dewan Rakyat diberitahu pada Selasa.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, sejak ditubuhkan kerajaan menyalurkan dana berjumlah RM172 juta untuk mengisi tabung itu.

Menjawab soalan Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman (BN-Lipis), Rosnah menafikan dakwaan bahawa prosedur permohonan bantuan yang ditetapkan pihak kementerian terlalu rumit sehingga sukar bagi seseorang pesakit kronik untuk mendapatkan bantuan.

"Adalah tidak tepat untuk mengatakan bahawa prosedur permohonan TBP terlalu rumit tetapi seseorang pesakit yang memerlukan bantuan TBP akan dirujuk oleh pakar perubatan yang merawatnya kepada pegawai kerja sosial perubatan hospital untuk dinilai kemampuan sosio-ekonominya.

"Ini bertujuan untuk memastikan bantuan hanya disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan dan permohonan yang lengkap akan diberi pertimbangan oleh Jawatankuasa Teknikal Perubatan," katanya.

Rosnah berkata, tabung itu diwujudkan bagi membiayai sebahagian atau sepenuhnya kos rawatan, peralatan perubatan, peralatan rehabilitasi dan ubat-ubatan yang tidak disediakan di hospital kerajaan kepada pesakit-pesakit yang tidak berkemampuan.

Katanya, antara tahun 2005 hingga 31 Ogos tahun ini, sebanyak 81 peratus permohonan lengkap yang diterima telah diluluskan dalam tempoh 14 hari.

"Di samping itu, bagi pesakit kronik yang layak dan memerlukan kelulusan segera, kelulusan lisan diberikan terlebih dahulu kepada pihak hospital untuk melakukan rawatan ke atas pesakit agar pesakit tidak perlu menunggu lama untuk menjalani rawatan yang diperlukan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Rumah Kedai Hangus Terbakar

Artikel Lain