suria

Wanita Thailand Ditahan Bersama 2.1 Kg Syabu

ALOR SETAR: Kastam Diraja Malaysia menahan seorang wanita Thailand kerana membawa dua bungkusan dipercayai dadah jenis syabu seberat 2.1 kg di Perhentian Bas Ekspres, Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam Isnin lepas.

Pengarah Kastam Negeri Datuk Abdul Aziz Abdul Latif berkata wanita berumur 41 tahun itu ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari selepas pemeriksaan awal di Pejabat Kastam Narkotik Bukit Kayu Hitam menemui bungkusan berbalut kertas karbon biru yang disaluti dengan plastik lutsinar mengandungi hablur kristal putih tersorok pada beg pakaiannya.

"Pihak kami telah membawa wanita itu bersama beg pakaiannya ke sini (Pejabat Kastam Alor Setar) untuk pemeriksaan lanjut dan hasil pemeriksaan menemui dua bungkusan berbalut kertas karbon biru yang tertulis 'pelikan' yang mengandungi dadah disyaki jenis syabu," katanya pada sidang media di sini, Rabu.

Beliau berkata dadah itu dianggarkan bernilai RM399,000 dan wanita itu yang bekerja sebagai tukang urut di Kuala Lumpur kini direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori," katanya.

Abdul Aziz berkata berdasarkan pasportnya, wanita itu telah masuk ke Malaysia sebanyak empat kali dan ini kali pertama dia ditahan.

"Dia menggunakan modus operandi yang baru dengan menaiki bas dari Hatyai dan turun ke Danok sebelum menyewa kereta masuk ke negara ini dengan harapan pihak kita tidak akan membuat pemeriksaan pada laluan penumpang," katanya.

Beliau berkata sehingga hari ini kes yang membabitkan rampasan dadah oleh pihak Kastam Diraja Malaysia Kedah adalah sebanyak tujuh kes iaitu enam daripadanya adalah di Bukit Kayu Hitam.

"Nilai rampasan bagi semua kes itu adalah lebih RM3 juta dan semua yang dirampas ialah dadah jenis syabu," katanya. BERNAMA

Artikel Lain