suria

Pembantu Kedai Kereta Terpakai Dipenjara Setahun, Dua Sebatan

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu kedai kereta terpakai dijatuhi hukuman penjara setahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan menipu seorang petugas 'despatch' membabitkan RM3,000.

Majistret Zaki Asyraf Zubir menjatuhi hukuman penjara setahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan terhadap Mohd Hisham Wahab, 30, dan memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh dia ditangkap pada 25 Sept lepas.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Hisham didakwa menipu Nik Nur Zaira Mohd Zaki, 23, supaya mempercayai tertuduh boleh membantu membayar wang pendahuluan sebuah kereta hingga mendorong Nik Nur Zaira menyerahkan wang tunai RM1,500 di hadapan Bangunan Ong Tai Kim di sini pada 1.30 pagi, 12 Sept lepas.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Hisham didakwa menipu Nik Nur Zaira membabitkan jumlah wang tunai sama di sebuah restoran di Jalan Samudera, Batu Caves, pada 9.30 pagi hari sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Mohd Hisham yang berasal dari Terengganu didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, Nik Nur Zaira telah berurusan dengan Mohd Hisham untuk membantunya membeli sebuah Proton Satria dan menyerahkan wang pendahuluan RM3,000 yang sepatutnya diserahkan kepada syarikat kereta terpakai.

Namun, apabila semakan dibuat, didapati Mohd Hisham tidak menyerahkannya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wong Chai Sia manakala tertuduh tidak diwakili peguam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain