suria

Seorang Suspek Kes Tembak Dua Polis Serah Diri

KUALA LUMPUR: Seorang daripada tiga suspek yang disyaki menembak dua anggota polis peronda di Jalan Kuchai Lama, di sini, Rabu lepas menyerah diri di Balai Polis Kepong kira-kira pukul 11 pagi Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, suspek berkenaan merupakan seorang remaja berusia 17 tahun.

Remaja yang dipercayai tinggal di Taman Wahyu, Jinjang itu menyerah diri selepas gambarnya diedarkan oleh polis pada Ahad, katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Dalam kejadian kira-kira 6.45 petang Rabu lepas, Koperal R. Subramanian, 52, dan Koperal Nor Azlan Abu Bakar, 41, ditembak ketika cuba melakukan pemeriksaan ke atas sebuah kereta yang dinaiki empat lelaki di persimpangan lampu isyarat di kawasan Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya berdekatan Kuchai Lama di sini.

Subramaniam cedera di bahagian perut dan rakan setugasnya Nor Azlan cedera di leher dan keadaan mereka dilaporkan stabil di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya.

Berikutan itu, polis melancarkan gerakan memburu penjenayah terbabit dan semalam, seorang daripada mereka ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan polis dalam kejadian di Taman Desa Water Park di sini.

Dalam insiden kira-kira pukul 3 pagi itu, suspek sebelum itu melarikan diri ke arah Taman Desa Water Park setelah polis menahan kenderaan jenis proton Waja yang dipandunya berhampiran kawasan pusat membeli-belah Mid Valley.

Ku berkata, polis kini sedang menjejaki seorang lagi rakan penjenayah iaitu Wan Fadrulzaman Wan Mohamad Fadil, 30, berasal dari Lanchang, Mentakab, Pahang. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain