suria

Isu Jet: Tian Chua Cabar Kerajaan Dedah Maklumat

KUALA LUMPUR: Selepas menerima pelbagai asakan mengenai status jet eksekutif yang dinaiki Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa pemimpin pembangkang lain, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua kini mencabar kerajaan mendedahkan maklumat lengkap mengenainya.

Sambil menafikan mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan Ketua Pembangkang berkenaan sama ada jet tersebut disewa atau ditaja, Tian Chua sebaliknya meletakkan tanggungjawab kepada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Kementerian Pengangkutan agar menjelaskan status sebenar jet tersebut.

"Tak timbul soal percanggahan antara saya dan Anwar, ia memang pesawat sewaan.

"Anda pergi semak sendiri, tak perlu tanya saya. Kami juga tunggu dan cabar kerajaan keluarkan semua maklumat-maklumat tersebut," katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Parlimen di sini, Khamis.

Ditanya mengenai dakwaan yang mengatakan bahawa kos sewaan jet eksekutif bagi tempoh dua hari untuk membawa Anwar ke Sabah pertengahan bulan ini adalah RM96,000 (AS$30,000), Tian Chua sekali lagi mahu kerajaan menjelaskannya.

"Dakwaan kos RM96,000 adalah tidak benar... itu satu penipuan. Pergi semak dan tanya DCA, tanya Kementerian Pengangkutan.

"Pergi tanya Menteri Pengangkutan siapa pemiliknya...dan siapa yang menyewa. Semua fakta ada pada mereka," katanya.

Diasak mengenai identiti penaja jet tersebut seperti yang dinyatakan Anwar, Tian Chua berkata: "Kalau nak tahu siapa yang uruskan...anda tak boleh tanya saya, kena tanya Anwar.

"Saya tak berminat untuk dedahkannya."

Artikel Lain