suria

Pekerja Mesin Cetak Dipenjara Dua Tahun Kerana Cabul Kanak-Kanak Enam Tahun

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja membaik pulih mesin cetak dipenjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini pada Selasa selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan mencabul kehormatan seorang kanak-kanak perempuan berumur enam tahun, minggu lepas.

Majistret Siti Shakirah Mohtarudin memerintahkan Rikki Azaraai Khan Agha Khan, 20, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 19 September lepas.

Rikki Azaraai Khan didakwa mencabul kehormatan kanak-kanak itu di tangga tengah tingkat 3, Blok B, Teratak Muhibbah 2, Taman Desa, Brickfields, di sini pada 4.15 petang, 19 September lepas.

Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada seksaan itu, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, seorang suri rumah berusia 32 tahun menerima aduan daripada kawan anaknya bahawa anak perempuannya diganggu seorang lelaki lalu dia bergegas ke tempat kejadian dan mendapati anaknya berdiri dalam keadaan menangis dan seluar dalam anaknya berada di lantai.

Suri rumah itu kemudian ternampak seorang lelaki berlari menuruni tangga, lalu mengejarnya dengan bantuan penduduk sekitar sehingga tertangkapnya lelaki berkenaan sebelum membawa anaknya ke balai polis untuk membuat laporan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Noor Mawarni Abd Halim memohon mahkamah menjatuhi hukuman yang dapat memberi keinsafan, amaran dan pengajaran terhadap tertuduh.

"Tertuduh berusia 20 tahun tergamak melakukan perbuatan sedemikian (mencabul) kepada kanak-kanak berumur enam tahun. Perbuatan itu mengakibatkan kanak-kanak itu mengalami trauma," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain