suria

DAP Tidak Mendapat Dana Asing - Karpal

GEORGE TOWN: Pengerusi DAP kebangsaan Karpal Singh berkata tuduhan bahawa parti itu mendapat dana luar negara daripada George Soros adalah tidak benar.

"Mana buktinya yang DAP mendapat dana asing?" katanya apabila diminta mengulas tentang beberapa badan bukan kerajaan (NGO), termasuk Suaram, yang dikatakan mendapat dana dari luar negara untuk menggugat kestabilan negara ini.

Mengenai dakwaan bahawa DAP juga ada kaitan dengan dana asing, Karpal Singh berkata:"DAP tidak menerima dana dari luar negara."

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, beliau berkata kebanyakan pertubuhan memang mendapat dana dari luar negara, tetapi ini tidak menjadi kesalahan sekiranya mereka membuat perisytiharan mengenainya dan ia tidak melanggar undang-undang.

"Malah, banyak negara mendapat bantuan asing dari negara lain seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), contohnya. Adakah anda rasa ini suatu kesalahan jenayah?" katanya.

Beberapa NGO menjadi perhatian baru-baru ini selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan meminta pendaftar pertubuhan menyiasat Suaram yang dikatakan menerima dana daripada Soros.

Dalam perkembangan lain, Karpal Singh berkata jawatan ketua menteri Pulau Pinang tidak semestinya hanya boleh disandang seseorang yang dilahirkan di negeri ini seperti yang didakwa bekas naib presiden DAP Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim.

"Lim Kit Siang mempunyai hubungan dengan pulau Pinang sejak sekian lama. Keluarga Lim mempunyai kediaman di sini. Memanglah Lim Guan Eng dilahirkan di Batu Pahat, tapi hubungan yang ada antara beliau dengan Pulau Pinang sudah memadai untuk menjadikan beliau pilihan yang betul untuk menjadi ketua menteri," katanya.

Semalam, Tunku Aziz berkata ketua menteri Pulau Pinang sepatutnya adalah anak tempatan, bukan ahli politik yang dibawa dengan payung terjun ke negeri ini dari tempat lain dan sehubungan itu, beliau mencadangkan agar pengerusi DAP Pulau Pinang Chow Kon Yeow dipilih sebagai ketua menteri.

Mengenai komen Tunku Aziz bahawa pengerusi DAP kebangsaan itu kadangkala diketepikan, Karpal berkata beliau menghormati pandangan itu, walaupun ia tidak tepat dan tidak berasas.

"Dalam DAP, berbeza dengan parti lain, setiausaha agunglah yang paling penting, tapi ini tidak bermakna pengerusi diketepikan," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain