suria

Arab Saudi Hantar Pulang 250 Rakyat Malaysia Salah Guna Visa Di Mekah

PETALING JAYA: Kira-kira 250 rakyat Malaysia yang menyalahgunakan visa di Arab Saudi dihantar pulang ke tanah air secara berperingkat-peringkat sejak awal bulan ini termasuk kumpulan terakhir seramai 13 orang pada Selasa.

Memetik laporan di dalam akhbar Utusan Malaysia pada Rabu, kesemua yang terlibat dipercayai menggunakan visa disediakan oleh agensi pelancongan Destinasiasia Travel Sdn.Bhd yang mendedahkan kes tersebut.

Mereka dipercayai melakukan tiga kesalahan iaitu tinggal lebih tempoh, ingin melakukan ibadat haji dan ingin belajar sekolah pondok di Mekah selama lima tahun.

Bagaimanapun cubaan mereka dikesan dengan bantuan kerajaan Arab Saudi dan juga muasasah yang dilantik.

Pengurus Destinasiasia Travel Sdn. Bhd., Mohd Norzi Md Ghazali berkata, kesemua mereka antara 300 rakyat negara ini yang memperoleh visa menerusi pakej umrah ditawarkan syarikat itu dan berlepas ke Arab Saudi secara berperingkat sejak Julai lalu.

Katanya, sebaik saja sampai di Mekah, kumpulan terlibat bagaimanapun menimbulkan masalah seperti tidak mengikut jadual atau enggan mematuhi pakej tempat tinggal disediakan selain ada menunda penerbangan apabila tiba waktu untuk berangkat pulang.

"Mereka telah menghilangkan diri dengan bantuan sindiket lain tanpa melalui muasasah yang disediakan agensi," katanya.

Dalam pada itu katanya, Destinasiasia Travel Sdn.Bhd merancang untuk membuat laporan kepada polis dan juga Jabatan Imigresen mengenai masalah terbabit.

Artikel Lain