suria

Lima Sekeluarga Termasuk Bayi 7 Bulan Nyaris Dijilat Api

KUALA TERENGGANU: Lima sekeluarga termasuk bayi perempuan berusia tujuh bulan nyaris maut setelah kediaman mereka di Kampung Wakaf Mempelam, di sini hangus dijilat api dalam kebakaran malam Isnin.

Mangsa Mohd Kamarul Arifin Ismail, 39, berkata ketika kejadian 9 malam itu dia sedang menonton televisyen di tingkat bawah manakala isteri dan tiga anaknya baru naik ke tingkat atas untuk masuk tidur.

Terhidu bau terbakar datang dari dalam rumah, beliau yang merupakan guru Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Ampuan Intan Kuala Berang, Hulu Terengganu lantas memeriksa seluruh rumah namun tidak menemui sebarang kejadian pelik.

Beliau kemudiannya membuka pintu hadapan rumah dan ternampak kepulan asap serta bahang api dari kedai pendawaian elektrik bersebelahan rumahnya dan api telah mula menjilat sebahagian kediamannya.

"Panik dengan kejadian itu, saya terus menjerit menyuruh anak dan isteri keluar selamatkan diri dan tidak lama kemudian, api mula marak membakar rumah saya. Saya hanya sempat menyelamatkan komputer riba saja," katanya.

Sementara itu, pemilik kedai pendawaian elektrik dan butik pakaian wanita, Safarin Ismail berkata sebelum kejadian, bekalan elektrik kedainya tiba-tiba terputus dan kemudian dia terlihat kepulan api mula membakar pekarangan luar bangunannya.

"Masa itu saya bersama isteri dan anak berada di butik pakaian dan tiba-tiba bekalan elektrik terputus. Masa nak keluar melihat apa terjadi, saya nampak api dan terus arahkan keluarga saya lari tanpa sempat menyelamatkan barangan," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Terengganu Mohd Zulkhairul Razilah berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira 9.13 malam di mana lima jentera dengan 29 anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

Katanya ketika pihak bomba sampai, api membakar kira-kira 60 peratus rumah serta dua premis itu.

"Tindakan pantas pihak bomba kami berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak ke keseluruhan premis separa kekal itu di mana kita mengambil masa kira-kira satu jam untuk memadamkan api," katanya.

Tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dan punca sebenar kejadian serta nilai kerugian masih disiasat. - BERNAMA

Artikel Lain