suria

Peniaga Miliki Senjata Dihadapkan Ke Mahkamah

KANGAR: Seorang peniaga, Khor Ching Seang, 39, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini Khamis atas tuduhan memiliki senjata api, peluru dan buku lima di kompleks Imigresen, Kastam dan Kurantina (ICQ) Padang Besar pada 17 Ogos lepas.

Bagi kesalahan pertama, tertuduh yang beralamat di Taman Berjaya, Nibong Tebal, Pulau Pinang dituduh memiliki sepucuk pistol jenis revolver tiada jenama di bawah tempat duduk pemandu kereta jenis Nissan Grand Livina di kompleks itu pukul 8.35 pagi.

Beliau juga menghadapi pertubuhan memiliki lima butir peluru jenis .38 SPL Thai Arms dan sebutir peluruh jenis .38 SPL RAI 11 pada tarikh, masa dan tempat yang sama.

Bagi pertuduhan ketiga, beliau didakwa memiliki satu unit senjata "buku lima" tanpa kebenaran sah, diletakkan dalam bahagian kotak fius kenderaan itu.

Tertuduh yang diwakili Mohd Asrul Abd Halim tidak mengaku salah terhadap pertuduhan itu dan peguam bela memohon tertuduh menerima rawatan mental di sebuah hospital di Perak.

Hakim Azman Ahmad membenarkan permohonan itu dan mengarahkan pemeriksaan dijalankan dalam tempoh kira-kira 30 hari.

Azman menetapkan 28 September depan untuk sebutan kes itu. - BERNAMA

Artikel Lain