suria

Indonesia Lulus Berprinsip Pembelian Batavia Air

JAKARTA: Kerajaan Indonesia telah meluluskan secara prinsip pembelian syarikat penerbangan Batavia Air oleh syarikat penerbangan tambang murah dari Malaysia, AirAsia Berhad dan syarikat PT Fersindo Nusaperkasa.

Ketua Pengarah Perhubungan Udara Kementerian Perhubungan Indonesia, Harry Bakti berkata beliau telah menandatangani kelulusan secara prinsip untuk pembelian itu pada Selasa.

Selepas memperoleh kebenaran secara prinsip itu, AirAsia boleh merealisasikan pembelian 76.95 peratus saham Batavia Air pada peringkat pertama dan diikuti kemudian dengan pembelian 23.05 peratus lagi sahamnya pada peringkat kedua, katanya di Jakarta, Rabu.

"Nama (Batavia Air) tidak akan berubah, hanya pemilikan sahaja," kata beliau.

Sementara itu, Pengarah Utama Fersindo, Dharmadi berkata dengan persetujuan Kementerian Perhubungan itu, syarikat itu akan mengambil langkah-langkah selanjutnya untuk menyelesaikan urusan pembelian itu.

"Dengan adanya persetujuan ini, kita akan lakukan proses kajian mendalam September ini," kata Dharmadi.

Proses untuk pembelian Batavia Air itu dilakukan oleh AirAsia melalui AirAsia Berhad dan PT Fersindo Nusaperkasa (pemegang saham majoriti PT Indonesia AirAsia).

Melalui pembelian itu, AirAsia Berhad akan memegang 49 peratus saham di Batavia Air, manakala Fersindo akan menjadi pemegang saham majoriti sebanyak 51 peratus.

Pembelian Batavia Air akan membolehkan AirAsia Indonesia melayani lebih daripada lapan juta penumpang di 42 bandar di Indonesia dan 12 destinasi antarabangsa.

Pada masa ini AirAsia Indonesia menguasai kira-kira tiga peratus daripada jumlah penumpang bagi laluan domestik di Indonesia dan 41 peratus daripada jumlah pasaran penumpang antarabangsa. BERNAMA

Artikel Lain