suria

Edar Syabu, Tukang Jahit Warga Iran Ke Tali Gantung

SHAH ALAM: Seorang tukang jahit warga Iran dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis syabu seberat 1.38kg di Lapang Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Abdul Alim Abdullah membuat keputusan itu terhadap Ghasemi Seyed Hassan Seyed Reza, 45, setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan pertuduhan melampaui keraguan munasabah.

Ghasemi didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan pemeriksaan Kastam di Balai Ketibaan KLIA pada pukul 3.45 petang pada 23 Disember 2009 mengikut Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Abdul Alim berkata pembelaan oleh Ghasemi kebanyakan berbentuk penafian semata-mata, termasuk dakwaannya bahawa dadah tersebut untuk kegunaan sendiri kerana ianya tidak munasabah jumlah dadah seberat itu untuk kegunaan peribadi.

Tertuduh juga mendakwa kedatangannya ke Malaysia adalah untuk mencari corak dan rekaaan fesyen orang Islam untuk di bawa ke Iran tidak mempunyai bukti kukuh untuk menyokong dakwaan itu, katanya.

Ghasemi juga mendakwa beliau telah diupah oleh seorang bernama Ghulam untuk membawa beg yang mengandungi pakaian yang mana terdapat dua helai kain dan sehelai baju sejuk di mana kedua-dua lengannya telah direndam dengan larutan syabu terlebih dahulu untuk diserahkan kepada seorang bernama Hamid.

Dia mendakwa menerima upah US$2,000 (RM6,240) daripada Ghulam untuk melaksanakan tugas itu.

Bagaimanapun, Abdul Alim berkata dakwaan itu tidak dapat diterima kerana kewujudan Hamid tidak dapat dibuktikan.

Beliau juga berkata sebagai seorang yang telah lima kali datang ke Malaysia, tertuduh sepatutnya memeriksa bagasi berisi pakaian yang hendak diserahkan kepadanya.

Malah Ghasemi mempunyai kawalan ke atas beg itu yang mana tertuduh sendiri yang membuka kunci beg itu semasa diperiksa oleh pihak kastam, katanya.

Pendakwaan dijalankan oleh pegawai pendakwa Jabatan Kastam, Mohd Radzi Shah Ab Razak manakala tertuduh diwakili oleh peguam Richard Ho.

Sementara itu, dalam sidang Mahkamah Tinggi lain di sini, seorang penuntut warga Nigeria dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan 16 sebatan selepas didapati bersalah memiliki dadah jenis syabu seberat 1.5kg di KLIA, tahun lepas.

Hakim Datuk Ahmad Asnawi berkata Stanley Ngozi Ireka, 38, didapati bersalah kerana memiliki dadah mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan bukan kerana mengedar di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Ahmad berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan kes terhadap tertuduh di bawah Seksyen 39B tetapi beliau memerintahkan tertuduh bersalah di bawah Akta Seksyen 12 (2) kerana memiliki dadah tersebut.

Ireka, 38, seorang penuntut pasca ijazah sebuah institusi pengajian tinggi awam, didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan tuntutan bagasi KLIA pada 12 Januari 2011.

Ahmad mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada hari kejadian.

Peguam Ireka, K. A. Ramu memohon mahkamah supaya meringankan hukuman terhadap anak guamnya memandangkan dia merupakan anak lelaki tunggal yang membantu kehidupan ibunya di Nigeria.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Zuraini Abdul Hamid meminta mahkamah supaya mengenakan hukuman berat sebagai amaran keras kepada warga asing yang cuba menyeludup masuk dadah ke negara ini. - BERNAMA

Artikel Lain