suria

Polis Tubuh Unit Khas Siasat Kes Bunuh Peniaga Di Marang

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu menubuhkan satu unit khas bagi menyiasat kes seorang peniaga ditembak mati di Kampung Bukit Cempedak, Marang, Ahad lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, ACP K.Manoharan berkata, pasukan itu akan diketuai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superitendan Mohd Zani Che Din.

"Kes seumpama ini pertama kali berlaku di negeri ini. Kami telah mengambil keterangan daripada ahli keluarga, penduduk kampung serta individu yang berada dalam kedai itu bagi membantu siasatan," katanya pada sidang akhbar di sini, Selasa.

Dalam kejadian pada pukul 11.30 malam itu, Mat Keya Jusoh, 54, ditembak ketika sedang bermain dam dengan seorang rakan yang berusia 51 tahun di depan rumah kedai miliknya.

Seorang dari tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta jenis Perodua Viva melepaskan dua das tembakan dari dalam kereta dalam jarak kira-kira lima meter daripada mangsa.

Manoharan berkata, hasil bedah siasat mendapati satu daripada tembakan itu mengenai badan mangsa dan polis percaya pistol yang digunakan adalah daripada jenis automatik.

Beliau berkata, gerakan memburu ketiga-tiga lelaki yang berumur lingkungan 25 hingga 30 tahun itu sedang giat dilakukan dan polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain