suria

Trafik Meningkat Namun Terkawal

KUALA LUMPUR: Jumlah kenderaan di sepanjang lebuhraya utama menghala ke ibu kota dilaporkan meningkat sejak tengahari sehingga pukul 4 petang ini mengakibatkan pergerakan trafik perlahan di beberapa kawasan.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ketika dihubungi Bernama hari ini berkata trafik menghala ke ibu negara dilaporkan bergerak perlahan di beberapa kawasan melibatkan aliran dari Seremban, dari plaza tol Karak dan dari plaza tol Bentong.

"Keadaan trafik bergerak perlahan disebabkan orang ramai mula pulang ke ibu kota sempena sesi persekolahan yang akan bermula esok," katanya.

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik Plus Expressways Bhd pula melaporkan keadaan trafik dari arah utara menghala ke ibu negara turut bergerak perlahan terutamanya dari plaza tol Juru ke Bukit Tambun, dari Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak menghala ke Terowong Menora, dari Simpang Pulai ke Gopeng dan dari Sungkai ke Slim River.

Keadaan trafik menuju ke ibu kota selepas Slim River dilaporkan agak lancar.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Lembaga Lebuhraya Malaysia di 1800-88-7752 dan laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik. BERNAMA

Artikel Lain