suria

Polis Tahan Tiga Sekawan Aktif Curi Kereta Di Lembah Klang

SERDANG: Polis memberkas tiga sekawan yang mencuri sekurang-kurangnya 12 kereta di sekitar Lembah Klang sejak tiga bulan lepas, di Taman Puncak Jalil, dekat sini Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Abd Razak Elias berkata mereka menggelarkan diri sebagai 'Geng Simpang' kerana pernah dipenjarakan di penjara Simpang Renggam, Johor dan mengenali satu sama lain di situ. "Kesemua mereka yang berusia antara 25 dan 28 tahun itu ditahan kira-kira pukul 3 petang ketika hendak mengambil sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dipercayai dicuri dan diletakkan di Taman Puncak Jalil.

"Ketiga-tiga suspek datang menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi. Seorang darinya ditahan semasa hendak mengambil Vios itu manakala dua lagi yang menaiki Myvi cuba memecut kenderaan namun terbabas dan ditahan," katanya pada sidang akhbar di Balai Polis Seri Kembangan dekat sini pada Rabu.

Beliau berkata seorang anggota polis cedera di jari kanan ketika cuba menghalang kereta itu.

Susulan tangkapan itu, polis menemui semula tiga kereta yang dilaporkan hilang iaitu sebuah Proton Myvi yang ditemui di Seri Kembangan, sebuah Toyota Camry yang ditemui Sungai Way dan Toyota Vios, kata Abdul Razak.

Turut ditemui dalam kereta yang dirampas ialah enam telefon bimbit, jam tangan, serangkai kunci, dompet, beg sandang serta beberapa komputer riba," katanya. Beliau berkata polis kini mengesan dua lagi lelaki yang dipercayai anggota geng itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Kota Mula Balik Raya

Artikel Lain