suria

UPM Hasilkan Lebih 600 Teknologi Inovasi

Dr Mohd Salleh. Foto IWAN SHU-ASWAD SHUAIB
Dr Mohd Salleh. Foto IWAN SHU-ASWAD SHUAIB
Dr Mohd Salleh. Foto IWAN SHU-ASWAD SHUAIB

SERDANG: Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menghasilkan lebih 600 teknologi inovasi dan 60 produk daripada jumlah itu mendapat pengesahan untuk dipatenkan.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof Datuk Ir Dr Mohd Saleh Jaafar berkata, pihak universiti menjadikan penghasilan produk berteknologi dan bermutu tinggi sebagi satu tradisi.

“Ia sebagai salah satu agenda penting bagi UPM untuk menjana ekonomi negara atau sekurang-kurangnya memberi impak kepada masyarakat.

“Kami yakin terdapat lebih banyak teknologi yang akan dihasilkan, dan ini jelas menarik perhatian masyarakat bahawa terdapat peluang untuk mencipta inovasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Putra Cipta Siri Tujuh 2012 di Fakulti Perhutanan, UPM bagi produk teknologi ‘V-Grooving’ di sini, Selasa.

Turut hadir ialah Dekan Fakulti Perhutanan, Prof Datin Dr Faridah Hanum Ibrahim dan Timbalan Pengarah Bahagian Promosi, Penyelidikan dan Inovasi Putra Science Park, Prof Madya Dr Samsilah Roslan.

Dr Mohd Saleh berkata, UPM sentiasa berusaha untuk mempromosikan teknologi yang dihasilkan oleh universiti itu untuk diketengahkan kepada keperluan pasaran.

“Kita bukan entiti perniagaan tetapi kita bertanggungjawab untuk mencipta inovasi dan teknologi. (Seperti inovasi V-Grooving), terdapat beberapa pihak daripada pelbagai industri yang berminat untuk membangunkan teknologi itu.

“Setiap yang dihasilkan dalam bentuk prototaip dan kita akan bekerjasama dengan pihak yang berminat untuk menghasilkan produk pada skala yang sebenar (bagi kegunaan pasaran),” katanya.

Produk ‘V-Grooving’ (Pengaluran bentuk V) merupakan satu lagi teknologi baru yang dihasilkan di UPM yang menjadi kaedah baru untuk mengubah batang buluh dari bentuk silinder kepada kepingan rata bagi kegunaan pembuatan papan buluh laminasi.

Penyelidik Jabatan Pengeluaran Hutan, Fakulti Perhutanan UPM, Prof Madya Dr Edi Suhaimi Bakar berkata, kaedah baru itu adalah sesuatu yang unik, merupakan yang pertama seumpamanya di dunia.

Katanya, teknologi itu menjadikan buluh sebagai alternatif bagi menangani masalah bekalan kayu dalam industri kayu di negara ini.

“Saya yakin bahawa buluh mempunyai ciri-ciri yang sama, atau kadang-kadang lebih baik daripada kayu. Buluh dijadikan sebagai bahan alternatif kepada kayu.

“Biasanya papan buluh laminasi menggunakan kaedah ‘splittung-squaring’ (membahagikan kepada empat segi) tetapi ia tidak praktikal dan melibatkan 13 proses yang mengambil masa.

“Namun kaedah V-Grooving hanya melibatkan antara tujuh dan lapan proses sahaja, satu kaedah yang lebih efisien untuk memudahkan operasi,” katanya.

Dr Edi berkata, buluh dijadikan sebagai bahan alternatif kayu kerana ia cepat tumbuh, mesra alam, kuat dan mempunyai nilai estetika yang tinggi.

“Antara kelebihan lain bagi kaedah V-Grooving ialah menjimatkan kos pengeluaran dan bahan mentah serta menghasilkan produk berkualiti dan bahan hijau.

“Inovasi baru ini juga meningkatkan pulangan bagi isi padu buluh yang telah diratakan dari 65 peratus ke 85 hingga 90 peratus,” katanya.

Inovasi V-Grooving mendapat pengiktirafan Pingat Emas pada Pameran Reka Cipta Penyelidikan dan Inovasi (PRPI) UPM 2012.

Artikel Lain