suria

Polis Rampas Mercun Bernilai RM50,000 Di Kedai Permainan Kanak-Kanak

KUANTAN: Polis Marin Pahang merampas pelbagai jenis mercun bernilai RM50,000 dalam satu serbuan di sebuah rumah kedai yang berselindung di sebalik jualan alat permainan kanak-kanak di Jalan Besar, di sini.

Dalam Operasi Ops Landai pada 10 pagi Jumaat lepas, pemilik premis itu yang berusia 44 tahun, turut ditahan.

Menurut Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga, ACP Azmi Ibrahim, pihaknya menemui 1,775 kotak mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api di premis berkenaan.

"Kejayaan ini adalah rampasan ketujuh bagi tahun ini dan merupakan yang terbesar," katanya kepada pemberita di sini Selasa.

Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 4(2) Akta Bahan Letupan 1957 iaitu menyimpan dan menjual mercun dan bunga api yang dilarang.

Beliau berkata mercun dan bunga api itu dipercayai untuk diedarkan kepada penjual-penjual kecil di sekitar bandar ini.

Beliau berkata bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, pihak markas Pasukan Polis Marin Kuantan, Pahang merampas mercun dan bunga api bernilai RM99,250 dalam tiga kes rampasan di sini.

"Manakala bagi Markas Operasi Pasukan Polis Marin Pangkalan Kubur, Kelantan berjaya merampas mercun dan bunga api bernilai RM16,740 melibatkan empat kes," katanya.

"Mercun dan bunga api itu dipercayai diperoleh dari negara jiran," katanya.

Beliau berkata bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini juga, pihaknya melakukan pelbagai rampasan bernilai RM1.6 juta menerusi 322 kes terhadap pelbagai kesalahan mengikut Akta Perikanan, Akta Kastam, Akta Dadah Berbahaya, Akta Bahan Letupan, Akta Padi dan Beras Negara, Akta Haiwan dan Akta Barangan Kawalan. - BERNAMA

Artikel Lain