suria

Polis Kedah Cari Tiga Lelaki Bantu Selesaikan Dua Kes Jenayah

ALOR SETAR: Polis Kedah sedang mencari dua lelaki tempatan dan seorang lelaki Myanmar bagi membantu siasatan menyelesaikan dua kes berasingan iaitu kes rompakan dan kes bunuh.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata pihaknya sedang memburu dua lelaki tempatan berhubung kes rompakan yang berlaku di sebuah pusat internet di Jalan Putra di sini pada 24 Jun lepas.

Katanya mereka dikenali sebagai Hussin Ismail, 39, atau Hussin Sakai yang alamat terakhirnya di Kampung Belakang Kilang, Perlis dan rakannya yang hanya dikenali sebagai Man Piau.

Adzaman berkata dalam kes yang berlaku kira-kira 10.15 malam itu, polis menahan dua lelaki setelah kereta yang mereka naiki terbabas ketika cuba melarikan diri melalui Jalan Tokang Yard.

"Dua suspek yang ditahan telah disoal siasat dan mendapati gagal menemui maklumat dan kita perlu mencari dua lelaki terbabit bagi membantu menyelesaikan kes itu," katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Adzaman berkata bagi kes pembunuhan yang berlaku di Taman Jaya, Jalan Langgar dekat sini 23 Nov tahun lepas, polis mencari seorang lelaki warga Myanmar yang dikenali sebagai Joe berumur antara 20 hingga 30-an bagi membantu menyelesaikan kes tersebut.

Dalam kejadian 11.35 malam itu mangsa Heng Song Moi, 59, ditemui mati dalam bilik dengan kesan tikaman di leher dan disedari anak lelaki mangsa, Tan Chin Hoi sebelum melaporkan kejadian itu kepada polis.

Adzaman berkata orang ramai yang mempunyai maklumat ketiga-tiga lelaki terbabit boleh menghubungi balai polis terdekat bagi membantu menyelesaikan kes tersebut.

Sementara itu, polis meminta seorang saksi perempuan dalam kes bunuh anggota polis di Pos Pengawal Istana Anak Bukit pada 26 April lepas segera tampil bagi membantu siasatan.

Katanya pada hari kejadian sekitar pukul 5.30 hingga 6 petang itu saksi perempuan yang mengetahui insiden tersebut membuat laporan di kaunter pertanyaan di Balai Polis Anak Bukit sebelum beredar.

Saksi terbabit yang menaiki kereta jenis Perodua Myvi putih, berketinggian 1.67 meter (5.5 kaki), berkulit cerah dan tubuh sederhana besar supaya tampil bagi memberi maklumat. Saksi terbabit boleh menghubungi pegawai penyiasat ASP Shanker di talian 010-3369619.

Dalam perkembangan lain, Adzaman berkata Polis Kota Setar melipatgandakan usaha membanteras jenayah mesin judi berkomputer secara haram yang berleluasa di daerah itu. -BERNAMA

Artikel Lain