Warga Myanmar Mati Dipercayai Dibunuh Rakan Senegara - Semasa | mStar

Warga Myanmar Mati Dipercayai Dibunuh Rakan Senegara

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja kedai membaiki pendingin hawa warga Myanmar maut dipercayai dibunuh rakan senegara di tempat kerjanya di Batu 5 Jalan Ampang, di sini petang Isnin.

Ketua Polis Daerah Ampang ACP Amiruddin Jamaluddin berkata mangsa berumur 30-an itu dipercayai dilibas di leher dari belakang ketika sedang membaiki penyaman udara kira-kira pukul 6.10 petang.

"Menurut saksi, mangsa yang ketika itu sedang melakukan kerja didatangi seorang lelaki dipercayai warga Myanmar, berkulit gelap, berumur lingkungan 30-an. Suspek yang datang dari belakang terus melibas ke arah leher mangsa.

"Mangsa yang ketika itu sedang membongkok terus rebah, tidak sedarkan diri dan dipercayai meninggal dunia selepas itu," katanya dalam sistem pesanan ringkas (SMS) di sini, Isnin.

Amiruddin berkata suspek kemudian berlari ke arah belakang sebuah klinik lalu membuang senjata yang digunakan ke dalam longkang berhampiran dan menghilangkan diri.

"Polis yang tiba di lokasi kejadian menemui sebilah parang panjang dalam longkang di belakang klinik berkenaan," katanya.

Beliau berkata polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dimiliki sebuah bank berdekatan tempat kejadian.

Amiruddin berkata polis juga akan menemubual dua rakan sekerja mangsa yang juga warga Myanmar, seorang pemilik kedai cuci kereta berusia 23 tahun dan seorang pemilik kedai kereta terpakai berusia 51 tahun, dipercayai saksi kejadian bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Tun M pandu Proton Saga baharu