suria

Piala Malaysia: Selangor PKNS Berazam Baiki Pencapaian Musim Ini

KUALA LUMPUR: Pasukan berstatus kelab, Selangor PKNS FC berazam untuk memperbaiki pencapaian mereka dalam saingan Piala Malaysia musim ini dengan melayakkan diri sehingga ke peringkat suku akhir.

Wakil kelab Lembah Klang itu terkandas di peringkat kumpulan pada kempen 2010 dan musim lepas.

Ketua jurulatih pasukan berkenaan Abdul Rahman Ibrahim berkata beliau yakin sasaran itu mampu direalisasikan menerusi tiga pemain pinjaman - Badrul Hisyam Azmi (Kuala Lumpur), Muhd Fakhrul Aiman Sidid dan S. Sumindran (Pos Malaysia) yang akan memperkuat pasukan itu.

"Badrul bermain di bahagian serangan manakala dua pemain Pos Malaysia itu adalah pemain tengah... jadi kemasukan tiga pemain tersebut sedikit sebanyak akan memperkuatkan jentera pasukan kami yang agak kurang berpengalaman dalam menghadapi Piala Malaysia kali ini," katanya ketika dihubungi Bernama, pada Isnin.

Mengulas persediaan pasukan itu untuk menghadapi kempen yang bermula 22 Okt ini, bekas pengendali pasukan kebangsaan berusia 66 tahun itu berkata mereka akan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan bagi memperbaiki kelemahan pasukan itu ketika ini.

"Kami seri 2-2 dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada aksi semalam di sini dan pada Rabu ini, kami akan menentang pasukan Pahang di Kuantan.

"Kami kemudian akan menentang kelab Sumatera Utara dari Indonesia pada Sabtu di sini. Jadi saya harap para pemain mampu meningkatkan corak permainan pasukan dalam baki dua perlawanan ini sebelum sepak mula Piala Malaysia," katanya.

Pasukan itu berdepan ujian getir selepas diundi dalam Kumpulan A Piala Malaysia bersama wakil kelab dari Singapura, Lions XII FC yang juga naib juara Liga Super selain dua pasukan dari selatan tanah air iaitu Johor FC dan Johor.

Mereka akan membuka kempen Piala Malaysia dengan menentang pasukan Johor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 28 Ogos. -BERNAMA

Artikel Lain