suria

Kekalkan Pengeluaran Caruwan KWSP Keputusan Yang Tepat - Kesatuan

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyifatkan keputusan kerajaan mengekalkan pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi sektor swasta pada 55 tahun adalah satu keputusan yang tepat.

Presidennya, Mohd Khalid Atan berkata keputusan itu adalah tepat kerana majoriti pekerja swasta mahukan peraturan sekarang dikekalkan walaupun kerajaan telah melanjutkan had umur persaraan minimum pekerja swasta kepada 60 tahun.

"Pencarum ketika ini boleh membuat pengeluaran separa KWSP pada usia 50 tahun sementara pengeluaran penuh hanya dibenarkan selepas pencarum bersara iaitu 55 tahun.

"Keputusan ini amat kami alu-alukan kerana MTUC sejak awal lagi memberi pilihan kepada pencarum sama ada mahu mengeluarkan wang caruman pada usia 55 atau 60 tahun," katanya ketika dihubungi Bernama. Mohd Khalid berkata, MTUC juga telah menjalankan kaji selidik dalam kalangan pekerja swasta tentang pemilihan untuk mengeluarkan wang caruman KWSP pada usia 55 atau 60 tahun.

Katanya, hasil kaji selidik mendapati 80 peratus pekerja swasta memilih untuk mengeluarkan wang caruman KWSP pada usia 55 tahun manakala selebihnya pada usia 60 tahun.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain