suria

Kegiatan Kemasyarakatan Warnai Lawatan Raja Muda Perlis Ke Kawasan Ops Pasir

KANGAR: Pelbagai kegiatan kemasyarakatan mewarnai lawatan kerja Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ke kawasan Ops Pasir di Sandakan, Sabah selama empat hari yang berakhir Khamis.

Kesemua kegiatan itu dianjurkan oleh jabatan dan agensi serta sektor swasta yang menyertai lawatan yang diketuai Raja Muda Perlis selaku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah itu.

"Antara kegiatan itu ialah penganjuran kempen "Memerangi Keganasan Terhadap Wanita" anjuran Jabatan Pembangunan Wanita Perlis di Kem Sri Kinabatangan yang dirasmikan Raja Puan Muda Perlis," demikian menurut siaran media yang dikeluarkan urusetia lawatan kerja itu Jumaat.

Turut diadakan ialah kempen penjagaan serta pemuliharaan alam sekitar di Pulau Selingan anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kempen Kesedaran Kesihatan oleh Jabatan Kesihatan Perlis di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sandakan dan promosi "Mengubah Destinasi Anak Bangsa" anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM Perlis) di SMK Batu Sapi.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perlis pula secara bersama menganjurkan kempen keselamatan jalan raya SMK Batu Sapi manakala Jabatan Mufti Perlis menyampaikan sumbangan buku dan risalah kepada semua kem tentera, masjid dan surau yang disinggahi.

Pada lawatan itu, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pula menyampaikan sumbangan kepada Masjid Pulau Kaniogan dan juga Surau di Pulau Berhala manakala PDRM Perlis menghulurkan sumbangan kepada surau di Pulau Libaran.

Tiga buah institusi yang beroperasi di Perlis iaitu UniMAP, UiTM Perlis dan Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) turut mengambil kesempatan mempromosi institusi masing-masing melalui 'Kempen Mai Belajar di Perlis' kepada lebih 2,000 pelajar.

Selain itu, program Titian Kasih anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah Sandakan di lima buah sekolah menengah di Sandakan yang berlangsung dengan jayanya, kata kenyataan itu.

"Di samping mencapai matlamat menterjemahkan penghargaan terhadap anggota keselamatan yang bertugas mempertahan kedaulatan negara, lawatan kerja baginda berdua juga memberi peluang kepada sektor swasta memperkembangkan tanggungjawab sosial kemasyarakatan (CSR) kepada masyarakat di Sabah," kata kenyataan itu.

Antara sektor swasta yang mengadakan CSR ialah pasaraya C-Mart, Arau yang mengadakan kempen 2,000 pelajar menandatangani sokongan terhadap Kontinjen Olimpik 2012 Malaysia di London dan Semangat Patriotisme Menjelang Kemerdekaan Malaysia ke-55 yang dilancarkan di Swiss Inn Hotel Sandakan.

Pengeluar diesel menggunakan bahan terbuang di Perlis, Syngas Sdn Bhd pula mengadakan kempen Kitar semula di Pulau Berhala manakala syarikat Shoruber (M) Sdn Bhd yang beroperasi di Perlis menganjurkan gotong royong mengutip sampah di pulau yang sama. - BERNAMA

Artikel Lain