suria

Suaram Perlu Perjelas Status Pertubuhan

KUALA LUMPUR: Bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ng Lum Yong meminta Pengarah Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Dr Kua Kia Soong memperjelaskan status pertubuhan itu.

Ng, bekas anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, berkata Kua perlu menjawab dakwaan Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM) Azwanddin Hamzah bahawa Suaram tidak didaftar sebagai badan bukan kerajaan di bawah Pendaftar Pertubuhan (ROS) tetapi sebagai sebuah syarikat, Suara Inisiatif Sdn Bhd, dengan modal berbayar RM2.

Selain itu, beliau berkata Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah mengarahkan Suara Inisiatif Sdn Bhd (Suara Inisiatif), yang didakwa mempunyai kaitan dengan Suaram, diberi tempoh tujuh hari untuk mengemukakan dokumen relevan berhubung syarikat itu.

"Bagaimanapun, tiada kenyataan rasmi dibuat oleh Suaram atau Suara Inisiatif sama ada mereka telah mengemukakan dokumen berkenaan kepada SSM, atau masih ingkar dengan arahan tersebut," katanya di sini malam Sabtu.

Ng juga meminta SSM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri segera menyiasat Suaram dan Suara Inisiatif, serta mengambil tindakan sewajarnya jika mereka melakukan kesalahan di bawah Akta Syarikat 1965.

Selain Kua, Ng meminta Anggota Majlis Pusat PKR R.Sivarasa memperjelas status Suaram jika beliau benar-benar memperjuangkan kebenaran. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain