suria

Kumpulan Samun Kedai Serbaneka Tumpas, Enam Lelaki Ditahan

SEREMBAN: Polis percaya dapat menumpaskan kumpulan samun kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam di Pekan Lukut, Port Dickson pada 28 Julai lepas selepas menahan enam lelaki daripada kumpulan itu beberapa jam selepas kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Hamdan Majid berkata kesemua mereka yang berumur antara 17 hingga 31 tahun yang menaiki sebuah kereta Proton Waja ditahan oleh anggota kereta peronda polis selepas beberapa jam mereka menyamun kedai berkenaan. Polis menemui daripada mereka satu batang cota, 46 tin minuman keras dan dua bungkus rokok yang disamun di kedai tersebut, katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Katanya mereka kini ditahan reman sehingga 2 Ogos ini bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 4.24 pagi itu, dua lelaki seorang daripadanya bersenjata cota menyerbu kedai itu dan memukul salah seorang daripada dua pembantu kedai sebelum melarikan beberapa tin minuman keras dan rokok yang dianggarkan bernilai RM387. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain