suria

Empat Bekas Tahanan Ordinan Darurat Ditahan Selepas Dipercayai Menyamun

KAJANG: Empat bekas tahanan Ordinan Darurat 1969, yang dibebaskan beberapa bulan lepas, ditahan polis setelah dipercayai menyamun sebuah pusat refleksologi di Bandar Mahkota Cheras di sini, pada Sabtu lepas.

Keempat-empat lelaki itu, yang berumur antara 28 dan 41 tahun, ditahan di premis berkenan sejurus selepas dipercayai menyamun premis itu kira-kira 12.15 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ab Rashid Ab Wahab berkata siasatan lanjut mendapati mereka juga terlibat dalam dua kes samun pusat urut dan sebuah hotel bajet di sekitar Kajang awal tahun ini.

"Modus operandi mereka ialah dengan menyamar sebagai polis dan menaiki van putih yang sama seperti van polis. Dalam kejadian tiga hari lepas, mereka menyamar sebagai anggota polis yang melakukan pemeriksaan di pusat urut itu. "Kemudian, mereka mengikat tujuh mangsa terdiri daripada pelanggan dan juruwang sebelum melarikan pelbagai barangan dari permis itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini, Selasa.

Ab Rashid berkata dalam kejadian itu, dua daripada suspek itu patah kaki dan tengkuk kerana terjun dari tingkat dua premis itu ketika cuba melarikan diri daripada polis manakala dua lagi dapat diberkas setelah bersembunyi di dalam premis.

"Antara barangan yang dirampas daripada suspek ialah tiga komputer riba dan dua televisyen LCD yang semuanya bernilai kira-kira RM12,000," katanya.

Dalam kes menyamun hotel bajet pula, katanya mereka menyamar menjadi pelanggan sebelum mengikat pekerja hotel dan menyamun. Mereka kini ditahan reman sehingga hari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 395/397 dan 170 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan dan bersenjata serta menyamar sebagai penjawat awam.

Dalam kes berasingan, beliau berkata seorang lelaki bekas tahanan Ordinan Darurat 1969 dan seorang lelaki yang mempunyai dua rekod jenayah mengugut dan menyamun ditahan polis dua minggu lepas setelah dipercayai kes curi kereta.

Ab. Rashid berkata mereka yang berumur 27 dan 29 tahun ditangkap di sebuah rumah di Batu 11, Cheras kerana dipercayai mencuri dua kereta Proton Saga BLM yang dilaporkan hilang di Kajang dan Proton Wira Aeroback yang dilaporkan hilang di Brickfields sejak hujung tahun lepas.

"Mereka juga dipercayai terlibat dalam beberapa kes samun rumah di sekitar Semenyih dengan mensasarkan rumah tidak berkunci dan tidak ramai penghuni," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain