suria

Bekas Pembantu Tadbir Mengaku Salah Atas 20 Tuduhan Pecah Amanah

JOHOR BAHRU: Seorang bekas pembantu tadbir (Kewangan) dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen pada Jumaat selepas mengaku bersalah terhadap 20 pertuduhan pecah amanah berjumlah RM11,615 dua tahun lepas.

Hakim, Zamri Bakar memerintahkan Abdul Samat Ahamad, 51, yang berasal dari Bukit Baru, Melaka, dihukum penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dan mengarahkan hukuman berkenaan berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu Khamis.

Dia didakwa melakukan pecah amanah ke atas hasil kutipan kerajaan ketika bertugas sebagai pembantu tadbir (Kewangan) Gred W17, yang melibatkan jumlah antara RM124 hingga RM1,737 di Klinik Pergigian Jalan Abdul Samad, di sini antara 28 Januari 2010 dan 25 Mac 2010.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, dan boleh juga dikenakan denda.

Zamri dalam penghakimannya berkata, Abdul Samat bernasib baik kerana hanya dijatuhi hukuman penjara dan tidak dikenakan sebatan memandangkan umurnya yang telah melebihi 50 tahun.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Dzul Iswari Mohd Jaafar memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadapnya memandangkan ia melibatkan wang hasil kutipan kerajaan dan kepentingan awam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain