suria

Dua Maut Motosikal Bertembung MPV

MARAN: Dua lelaki maut selepas motosikal yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Km27 Jalan Temerloh-Bandar Jengka dekat sini malam Sabtu.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superitendan Ahmad Johari Sahabuddin berkata, dalam kejadian 10.35 malam itu, mangsa yang terbunuh ialah Mohd Iznu Shauqi Johari Asri, 16, dan Mohd Akasyah Md Puzi, 22.

"Tiba di tempat kejadian, Mohd Iznu Shauqi yang menunggang motosikal itu dikatakan cuba memintas sebuah kereta di hadapannya sebelum bertembung MPV terbabit yang dari arah bertentangan," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Kedua-dua mangsa yang cedera parah di kepala dan badan mati di tempat kejadian manakala pemandu MPV itu Zaki Hassan, 43, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. - BERNAMA

Artikel Lain