suria

Situasi Bekalan Air Di Lembah Klang Masih Kritikal - Syabas

KUALA LUMPUR: Situasi bekalan air di Lembah Klang masih kritikal namun terkawal, kata Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) pada Khamis.

Syabas dalam satu kenyataan di sini berkata, ketika ini gangguan bekalan air masih berlaku membabitkan 42,080 akaun pengguna di wilayah Kuala Lumpur dan Hulu Langat.

"Syabas telah menyusun semula agihan air di kawasan terjejas bagi mengurangkan kesan kepada pengguna. Syabas juga menyediakan sejumlah 28 lori tangki dan 32 tangki statik bagi membekalkan air di kedua-dua wilayah terlibat," kata kenyataan itu.

Bagaimanapun katanya, disebabkan kawasan yang terjejas adalah luas, pengguna mungkin lewat menerima bekalan selain Syabas turut mengutamakan kawasan yang lebih kritikal.

"Pengguna dinasihat mengurangkan penggunaan air dan menggunakannya dengan penuh hemah sepanjang menghadapi cuaca panas kering ini," kata kenyataan itu.

Gangguan bekalan air sejak seminggu lepas itu berpunca daripada cuaca panas kering yang menyebabkan penyusutan paras kolam imbangan utama, ditambah dengan peningkatan permintaan.

Artikel Lain